Rabu, 12 Julai 2017 | 9:01pm
PASAR raya rangkaian Laanza Hyper di Kuwait. - Foto Facebook
PASAR raya rangkaian Laanza Hyper di Kuwait. - Foto Facebook

MMEC sasar jualan ke Kuwait catat RM2j sebulan

KUALA LUMPUR: Malaysian Millennium Entrepreneurs Consortium (MMEC) mensasarkan jualan eksport RM2 juta sebulan bagi fasa ketiga daripada lima tan produk makanan dan minuman usahawan kecil dan sederhana untuk dipasarkan di lima pasar raya rangkaian Laanza Hyper di Kuwait.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MMEC, Datuk Hassan Saad, berkata eksport fasa ketiga itu akan bermula 17 Julai ini yang membabitkan lebih 57 usahawan kecil dan sederhana dengan lebih 150 produk.

"Ini adalah eksport bagi fasa ketiga kita ke pasar raya tersebut setelah berjaya merekodkan nilai dagangan sebanyak RM350,000 pada fasa pertama dan kedua, yang bermula awal tahun ini.

"Kita akan terus berusaha untuk memudahkan aktiviti pengeksportan produk dan berharap nilai eksport dapat ditingkatkan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen 'Beyond Nation-Time To Export' di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Datuk Dzulkifli Mahmud.

Dzulkifli turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara MMEC dengan Pusat Perniagaan Antarabangsa Pertubuhan Kerjasama Islam, Majlis Perniagaan Mongolia Malaysia serta Laanza Hyper (Kuwait), yang bertujuan membantu usahawan kecil dan sederhana memperluaskan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa.

Hassan berkata, kempen 'Beyond Nation-Time To Export' adalah bagi mengumpul produk perusahaan kecil dan sederhana dari seluruh Malaysia untuk dieskport bagi menampung permintaan yang sangat tinggi dari rangkaian pasar raya luar negara melalui beberapa fasa pemasaran. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X