Rabu, 12 Julai 2017 | 10:52pm

Wall Street dibuka tinggi

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) di Wall Street dibuka tinggi hari ini selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Janet Yellen menyatakan kenaikan kadar faedah akan dilakukan secara berperingkat.

Katanya, kadar berkenaan tidak perlu dinaikkan terlalu tinggi untuk mencecah tahap neutral.

Yellen dalam draf testimoni yang akan disampaikan kepada Kongres berkata, ekonomi negara itu dalam keadaan baik untuk menyerap sebarang kenaikan kadar faedah secara beransur-ansur di masa akan datang.

Testimoni itu memberi gambaran bahawa walaupun ekonomi berkembang perlahan, ia terus mencipta peluang pekerjaan baharu dan menerima manfaat daripada perbelanjaan isi rumah yang stabil serta peningkatan dalam pelaburan perniagaan kebelakangan ini.

Pelabur dan beberapa pegawai Fed AS yang bimbang dengan penurunan inflasi mahu melihat kemajuan yang lebih baik bagi mencapai sasaran bank pusat itu iaitu kadar inflasi pada dua peratus.

Indeks Purata Perindustrian Dow Jones naik 106.47 mata atau 0.5 peratus kepada 21,515.54.

S&P 500 menokok 12.81 mata atau 0.52 peratus kepada 2,438.34.

Indeks Komposit Nasdaq pula meningkat 46.80 mata atau 0.76 peratus kepada 6,240.11. - REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X