Khamis, 13 Julai 2017 | 1:05pm

AirAsia tambah penerbangan Aidiladha

SEPANG: AirAsia akan menambah kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kuala Terengganu, Johor Bahru dan Alor Setar bagi menampung permintaan bagi Aidiladha akan datang.

Penerbangan ke Kota Bharu akan meningkat daripada 75 kepada 89 penerbangan seminggu, Kuala Terengganu ditambah daripada 47 kepada 54 penerbangan seminggu manakala Alor Setar akan meningkat daripada 33 kepada 40 penerbangan seminggu bagi perjalanan antara 26 Ogos dan 3 September 2017.

Manakala, penerbangan ke Johor Bahru akan meningkat daripada 38 kepada 41 penerbangan seminggu bagi tempoh perjalanan antara 29 Ogos hingga 12 September 2017.

Sempena musim cuti akan datang, AirAsia menawarkan potongan 20 peratus untuk semua tempat duduk, semua penerbangan bermula sekarang hingga 16 Julai 2017 bagi tempoh perjalanan antara 17 Julai dan 23 November 2017.

Tempahan boleh dibuat melalui airasia.com, aplikasi mudah alih AirAsia dan AirAsiaGo.

Ahli AirAsia BIG juga boleh menebus penerbangan semasa tempoh jualan menggunakan mata AirAsia BIG.

Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee, berkata syarikat amat gembira menambah penerbangan bagi perayaan Aidiladha akan datang, supaya penumpang boleh merancang perjalanan balik kampung dengan lebih banyak pilihan penerbangan.

Penumpang juga, katanya boleh mengambil peluang daripada sambungan meluas AirAsia di Malaysia, termasuk laluan baharu seperti Langkawi-Kuching, Langkawi-Johor Bahru, Johor Bahru-Kuala Terengganu, Johor Bahru-Tawau dan banyak lagi.

"AirAsia juga sentiasa berusaha untuk mengembangkan hab domestik bagi memberi layanan lebih baik kepada penumpang dan berharap laluan baharu serta kekerapan tambahan penerbangan akan membantu melancarkan perjalanan mereka," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X