Jumaat, 14 Julai 2017 | 8:00am
SHAMSUL Anuar; Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Tan Sri Johan Jaaffar dan Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff bersama pemenang cabutan Wow! Tahunan
SHAMSUL Anuar (berdiri kanan) beramah mesra bersama tetamu jemputan di Majlis Mesra bersama Pelanggan & Pelancaran Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Yusni Ariffin

WOW! 20 Tahun PTPTN hargai pendeposit setia SSPN

SHAMSUL Anuar (kiri) bersama Wan Ahmad memasukkan replika duit syiling 50 sen ke dalam tabung gimik

KUALA LUMPUR: Lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 disediakan untuk pendeposit skim simpanan pendidikan SSPN-i dan SSPN-i Plus menerusi Cabutan WOW! 20 tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dilancarkan semalam.

Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN ini disediakan untuk pendeposit yang baharu membuat pembukaan atau penambahan akaun.

Pendeposit berpeluang memenangi hadiah menarik menerusi cabutan bulanan dan cabutan istimewa yang diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-20 penubuhan PTPTN yang bermula 1997 hingga 2017.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata cabutan bertuah itu adalah tanda penghargaan dan dorongan serta galakan kepada rakyat Malaysia yang menyimpan dengan PTPTN, iaitu Tabung Pendidikan utama negara.

Pemenang tempat pertama Cabutan Wow! tahunan 2016/2017, Wan Asron Wan Jusoh bersama keluarga

Hadiah menarik

"Dengan hadiah yang menarik disediakan PTPTN, semua lapisan masyarakat perlu mengambil peluang ini.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pendeposit bertuah dan berjaya memenangi hadiah bagi Cabutan WOW SSPN-i Plus Suku Tahun Ketiga dan Tahunan Untuk tahun 2016/2017," katanya pada sidang media selepas pelancaran Cabutan Wow! 20 PTPTN di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Shamsul Anuar berkata, selari dengan dunia siber tanpa sempadan, PTPTN secara agresif memperkenalkan program pemasaran produk SSPN-i Plus melalui ejen online.

Menerusi ejen online, rakyat mampu membuka akaun dan membuat transaksi secara lebih mudah dengan hanya di hujung jari.

"Tahun lalu, PTPTN melancarkan Anugerah Ejen Online PTPTN terbaik. Dengan hanya mencapai pembukaan akaun baharu SSPN-i Plus dalam jumlah yang ditetapkan, ejen online PTPTN berpeluang memenangi hadiah lumayan.

"Antara hadiah yang disediakan ialah pakej percutian ke luar negara dan wang tunai," katanya.

Peluang untuk orang ramai menjadi ejen masih lagi terbuka dan orang ramai berpeluang memperoleh pendapatan lumayan, pendaftaran mudah dan tidak memerlukan sebarang modal permulaan.

Sehingga kini, PTPTN mempunyai 5,462 orang berdaftar sebagai ejen.

PTPTN turut melaksanakan Sahabat Niaga membabitkan agensi dan persatuan bertujuan untuk mempromosikan produk SSPN-i Plus.

Tiga agensi pertama yang menyertai program Sahabat Niaga PTPTN ini adalah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional, iSynergy dan Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM).

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X