Jumaat, 14 Julai 2017 | 1:01pm
ORANG ramai bersesak mendapatkan nombor giliran di pejabat JPN di UTC Tawau susulan viral penamatan permohonan kad pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) dan Pemastautin Tetap (MyPR). - Foto Abdul Rahemang Taiming
TIMBALAN Pengarah JPN Sabah, Adrian Allan Richard menunjukkan contoh MyKas dan MyPR pada sidang media di pejabat JPN di UTC Tawau, hari ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Hebahan palsu buat pejabat JPN diserbu

TAWAU: Hebahan palsu yang tersebar luas di laman sosial berhubung penamatan permohonan kad pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) dan Pemastautin Tetap (MyPR), menyebabkan ratusan pemohon menyerbu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau di sini, pagi tadi.

Pejabat JPN di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini diserbu sejak awal pagi.

Susulan keadaan itu, Timbalan Pengarah JPN Sabah, Adrian Allan Richard, menafikan pihaknya membuka permohonan yang kononnya berakhir hari ini seperti tersebar di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

"JPN ingin menegaskan permohonan kad MyKas mula dibuka pada 5 Mei lalu dan tiada tempoh tertentu (tarikh tutup) untuk orang ramai memohon.

"Oleh itu, kita meminta orang ramai tidak mempercayai hebahan berkenaan kerana ia palsu.

"Kita tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan mengaku sebagai ejen bagi memperdaya orang ramai," katanya. 

Adrian berkata, permohonan MyKas dan MyPR adalah perkhidmatan berterusan tanpa tarikh tutup dan orang ramai boleh berbuat demikian di mana-mana cawangan JPN selagi memenuhi syarat ditetapkan.

"Setiap permohonan MyKas dan MyPR melalui proses yang ketat termasuk disemak oleh panel Jawatankuasa Kad Pengenalan Pemastautin Sementara di peringkat ibu pejabat JPN negeri dan Putrajaya.

"Tiada perubahan syarat atau prosedur berkaitan urusan permohonan terbabit," katanya.

Sementara itu, Normala Ramli, 45, dari Semporna bersama anaknya tiba di pejabat JPN di sini jam 7 pagi tadi selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga mengenai perkara berkenaan.

"Saya keluar selepas subuh dari Semporna dan tiba jam 7 pagi di sini, tetapi kecewa selepas gagal mendapatkan nombor giliran," katanya.

Berita Harian X