Jumaat, 14 Julai 2017 | 5:45pm

Along tak sanggup dilabel pelakon kayu


PEMENANG tempat ketiga program realiti Mentor Milenia 2017, Along Zaimi. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pemenang tempat ketiga program realiti Mentor Milenia 2017, Along Zaimi, belum terfikir untuk memanjangkan langkahnya ke dunia lakonan buat waktu ini.

Menurut bakat baharu berusia 21 tahun itu, pada peringkat awal kerjaya seninya ini, biarlah tumpuan diberikan kepada bidang seni suara terlebih dulu.

Bekas protege kepada Tomok berasal dari Kuala Kedah itu tidak mahu bersikap tamak mahupun terburu-buru demi kebaikan kerjaya seninya yang baru hendak bertapak.

"Terjun ke dunia lakonan? Rasanya saya takkan berbuat demikian buat masa sekarang.

"Saya tidak mempunyai asas dalam lakonan, jadi bimbang pula jika peminat mengatakan lakonan saya kaku seperti kayu nanti.

"Jadi, biarlah kerjaya nyanyian saya stabil terlebih dulu. Selepas itu, siapa tahu saya akan terfikir untuk mencuba nasib di arena lakonan pula," katanya kepada BH Online.

Anak muda terbabit ketika ini giat mempromosikan single sulungnya berjudul Menolak Hatiku ciptaan Tomok.

Menurut Along atau nama sebenarnya Mohamad Rozaimi Rosli, beliau amat bersyukur apabila mentornya sudi menghadiahkan lagu berkenaan sebagai salam perkenalan untuk peminat.

"Lagu itu dirakamkan pada 11 April lalu, yang juga jatuh pada tarikh hari lahir saya yang ke-21. Dalam hal ini, saya sangat beruntung. Lagu itu dirakamkan ketika saya masih berentap pada peringkat suku akhir pertandingan Mentor Milenia 2017.

"Sehingga kini, saya sudah mempromosikan lagu terbabit menerusi program bual bicara seperti Malaysia Hari Ini dan Selamat Pagi Malaysia. Stesen radio juga sudah mula memutarkan lagu dendangan saya itu," katanya.

979 dibaca
Berita Harian X