Jumaat, 14 Julai 2017 | 8:16pm

Plat US 1-1000 boleh dibida tengah malam ini


PRESIDEN Persatuan Seniman, Zed Zaidi pada sidang media Dialog Perubatan lakonan di dalam Filem dan Drama serta pelancaran kad perubatan Seniman di FINAS. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh membida nombor plat kenderaan US 1 hingga US 1000 atas inisiatif Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mulai jam 12.01 tengah malam ini.

Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, nombor plat US bermaksud 'Untuk Seniman' diperkenalkan bagi mencari dana membantu anak seni selain membiayai program kemasyarakatan.

"Nombor plat US 1 hingga US 1000 bukanlah khusus untuk digunakan anak seni, sebaliknya kita membuka bidaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Mulai esok (iaitu 12.01 tengah malam ini) orang ramai boleh membida dan menempah nombor plat bermula daripada US 1 hingga US 1000.

"Mereka boleh melakukannya melalui laman sesawang www.platus.my atau mengambil borang bidaan di pejabat Sekretariat Plat US di Centrio Pantai Hillpark, di sini," katanya kepada BH Online.

Zed berkata, inisiatif Seniman dan JPJ dianggap kerjasama baik antara persatuan seni dan agensi kerajaan.

"Malah ia menjadi tanggungjawab sosial JPJ kepada masyarakat," katanya.

Zed berkata, 100 peratus daripada hasil jualan nombor plat US akan disalurkan kepada tabung Seniman.

"Sehubungan itu, kami mengalu-alukan orang ramai terutama peminat nombor plat kenderaan mengambil peluang mulai jam 12 tengah malam ini. Permohonan tender akan ditutup pada 20 Ogos depan," katanya.

Bagi pembida yang berjaya memiliki nombor istimewa itu, mereka boleh mendaftar kenderaan masing-masing mulai 1 Oktober atau selepas mendapatkan kelulusan pewartaan daripada JPJ.

Terdahulu, sidang media bidaan nombor pendaftaran khas kenderaan US diadakan di ibu negara, pagi tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Fauzi Ayob.

Alamat penuh Sekretariat Plat US adalah Aquatwo Sdn Bhd, A-3A-8, Centrio Pantai Hillpark, No 1, Jalan Pantai Murni, Kuala Lumpur atau hubungi 03-27762462.

569 dibaca
Berita Harian X