Isnin, 19 Januari 2015 | 3:06pm

AJL 29 antara yang terbaik - Siti Nurhaliza

Mojo menampilkan Caliph Busker dinobatkan Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-29 di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Hampir tiga dekad penganjuran, Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang berlangsung malam tadi di Stadium Putra, Bukit Jalil menyajikan persembahan finalis yang cukup mengagumkan.

Penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza. - Foto Munira Abdul Ghani

Malah tak keterlaluan jika dianggap AJL29 yang menampilkan Scha Alyahya dan AG Hot FM sebagai pengacara itu antara AJL yang terbaik pernah dianjurkan TV3. Hingga saat ini masih berbekas persembahan finalis yang terbabit.

Persembahan bertenaga kumpulan Mojo contohnya yang menyampaikan lagu Romancinta bersama Caliph Busker melayakkan mereka menerima Persembahan Terbaik sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.

Idea Edry Abdul Halim menampilkan penyanyi orang kelainan upaya (OKU) itu ternyata dipuji ramai apatah lagi vokalis Caliph Busker itu mempunyai vokal yang cukup baik. Datuk Siti Nurhaliza sendiri tidak menafikan bahawa AJL29 antara yang terbaik pernah diadakan.

"Tahniah kepada Kak Huda (Nurhul Huda Khalid bertindak sebagai Penerbit Eksekutif AJL29) dan pasukan produksinya. AJL29 kali ini bagai cukup rencah. Bukan saja daripada sudut kerja produksinya, lihat saja prop, visual, penataan cahaya sangat gah.

"Peningkatan ini sesuatu yang baik. Syabas kepada semua yang terbabit. Malah saya lihat penonton di stadium pun sangat sporting kerana persembahan finalis membuat ramai yang terpaku dan melekat di depan kaca televisyen.

"Persembahan Amy Search dan Bunkface serta Stacy antara contoh saya lihat bagaimana finalis terbabit bijak menarik tumpuan penonton seperti wujud interaksi.

"Stacy juga contohnya mengakhiri persembahan dengan lantunan bola mainan bersaiz besar ke ruang penonton. Persembahan Mojo juga tak dapat dinafikan kehebatannya hingga penonton memberikan standing ovation," katanya.


Bertindak sebagai juri profesional AJL29, Siti selaku penyanyi yang cukup sinonim dengan irama balada dan tradisional juga amat terbuka dengan lagu genre lain. Begitu juga kesepakatan juri profesional memilih lagu Apa Khabar dendangan Joe Flizzow dan SonaOne sebagai pemenang.

"Ikutkan dari segi aliran dan konsep muzik, ia sentiasa berubah. Sewaktu kita (juri) selesai memilih dan berbincang mengenai penjurian AJL29, semua bersetuju dengan lagu Apa Khabar sebagai genre muzik terkini.

"Disokong dengan lirik, susunan muzik dan pembikinan lagu yang cantik daripada penjurian awal menerusi cakera padat... ia antara yang mempengaruhi kemenangan lagu Apa Khabar untuk diangkat sebagai karya yang bagus," kata.

Berita Harian X