Isnin, 19 Januari 2015 | 3:12pm

PLKS dalam talian mampu tangani orang tengah

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Danial Saad
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Danial Saad

KUALA LUMPUR: Pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara dalam talian mulai Januari ini bertujuan menangani peranan orang tengah yang mengenakan caj berlebihan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata caj yang dikenakan mereka terhadap majikan atau pekerja itu amat memeranjatkan sehingga mencecah RM2,000 untuk setiap permit.

"Dalam hal ini orang tengah yang mendapat keuntungan berkali ganda, oleh itu sistem secara dalam talian diperlukan supaya majikan sendiri dapat melakukan pembaharuan pada bila-bila masa dan di mana juga dengan Jabatan Imigresen," katanya ketika dihubungi Bernama.

Melalui penggunaan PLKS secara dalam talian, majikan hanya dikenakan bayaran perkhidmatan RM38 bagi setiap permit yang diperbaharui untuk semua jenis pekerjaan.

Sebelum ini, proses pembaharuan semula permit ini dibuat melalui perkhidmatan kaunter di Jabatan Imigresen, tetapi kini hanya dilaksanakan melalui MyEG.

Wan Junaidi berkata, isu pelaksanaan tersebut yang dikatakan menyusahkan serta bayaran RM38 tidak patut timbul kerana setiap majikan boleh melantik seorang kakitangan yang ditugaskan untuk mengendali sistem berkenaan.

Katanya, bayaran itu juga jauh lebih murah berbanding mengupah orang tengah yang mengenakan caj yang tidak sepatutnya itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan PLKS secara dalam talian sebenarnya dijalankan secara berperingkat sejak 2012 dan dimulakan terhadap industri pembantu rumah namun tiada sebarang aduan sebelum kerajaan memutuskan untuk melakukan sepenuhnya pada tahun ini. "Selepas kementerian membuat kajian terhadap pelaksanaan sistem itu secara online, kita dapat maklum balas yang memuaskan, ini juga ekoran untuk mengelakkan kesesakan di kaunter," katanya.

Tambahnya pelaksanaan tersebut juga bagi mengelakkan rasuah antara kakitangan Imigresen dengan orang tengah yang tidak mahu menunggu lama di kaunter.

"Semua orang faham bila kerja yang susah dan ambil masa ni akan banyak berlaku rasuah sebab orang tidak mahu menunggu lama serta mahu urusan dipermudahkan," tambahnya.

Wan Junaidi berkata, sepatutnya perubahan untuk kebaikan tidak harus dipertikaikan memandangkan pada zaman sekarang semua orang ingin melakukan transaksi di 'hujung jari' sahaja tanpa menyusahkan diri sendiri. Sebelum ini, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) memohon supaya dikaji semula peraturan yang mewajibkan PLKS dibuat secara dalam talian mulai 5 Januari lalu.

Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) turut menyatakan ketidakpuasan mereka terhadap langkah terbaharu itu.

- BERNAMA

Berita Harian X