Sabtu, 15 Julai 2017 | 11:44pm

Kedah, Selangor terikat di Darul Aman


PEMAIN Kedah, Mohd Syazwan Tajudin (kanan) mengasak pemain Selangor, Rufino Segovia pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Darul Aman malam ini. Kedudukan seri 1-1 pada separuh masa pertama. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Kedah terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kedah memburu gol seawal babak permainan pada minit kelima melalui Baddrol Bakhtiar namun percubaannya tersasar.

Selangor menerusi gerakan Rufino Segovia yang bergandingan dengan Forkey Doe hampir memecah kebuntuan seminit kemudian namun penjaga gol Kedah Farhan Abu Bakar lebih bersedia menafikan cubaan itu.

Saling berbalas serangan, Selangor membuat kejutan dengan gol pembukaan pada minit ke-16 melalui S Venod yang berjaya membuat pergerakan licik memecah kubu Kedah dan menewaskan Farhan Abu Bakar.

Pintu gol Kedah sekali lagi cemas oleh cubaan Forkey Doe pada minit ke-22 dari sebelah kiri pintu gol kedah namun percubaannya ditampan.

Kedah akhirnya bangkit membuka gol pertama hasil percubaan Ken Ilso Larsen yang melakukan sepakan lencong cantik dari bahagian kanan luar kotak penalti pintu gol Selangor pada minit ke-28 menewaskan penjaga gol Norazlan Razali.

Liridon Krasniqi hampir menambah gol untuk Kedah pada minit ke-38 namun percubaannya berjaya ditepis keluar.

Bermula babak kedua, Kedah dan Selangor saling berbalas serangan namun ketangkasan penjaga gol masing-masing menafikan tambahan gol.

Berita Harian X