Ahad, 16 Julai 2017 | 4:34pm

Kempen 'Kool Kan Ada' tunai permintaan pendengar

KUALA LUMPUR: Bersama matlamat menghulurkan bantuan kepada pendengar, stesen radio Media Prima Berhad, Kool FM, memperkenalkan kempen 'Kool Kan Ada' mulai 13 Julai lalu.

Kempen amal berkenaan akan diteruskan stesen radio popular terbabit sehingga 26 Ogos depan.

Menerusi kenyataan yang dikirimkan kepada BH Online, melalui program terbabit, pendengar boleh menghantar penyertaan mereka di laman web rasmi Kool FM di www.koolfm.com.my, dengan menyatakan jenis bantuan diperlukan.

Kisah yang paling menarik akan dipilih dan stesen kegemaran ramai itu akan berusaha menunaikan permintaan berkenaan.

Bantuan yang bakal dihulurkan adalah dalam pelbagai bentuk, seperti membiayai pinjaman kereta anda bagi bulan tertentu, membeli bekalan lampin pakai buang untuk anak anda selama setahun, menjelaskan bil telefon, membeli komputer riba untuk pelajar.

"Apa saja yang dihajati, Kool FM akan berusaha untuk menunaikan impian itu. Dengan kehadiran AG, Haiza, Liza, Muaz, Rea, Ikhwan atau Ezaq pada hujung minggu di lokasi terpilih pula, ia pasti akan menceriakan suasana kerana pendengar turut berpeluang beramah mesra bersama penyampai radio kesayangan masing-masing. Pendengar juga boleh menggunakan #KoolKanAda di sosial media Kool FM sepanjang kempen berlangsung," kata kenyataan terbabit.

Sementara itu, Sahabat Kool bakal memulakan jelajah mereka bermula 17 Julai ini sehingga 25 Ogos depan di sekitar Lembah Klang, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang.

Menerusi jelajah terbabit, mereka akan membawa pelbagai barangan eksklusif kepada pengunjung. Jadi, dengarkan Kool FM bagi mengetahui lokasi terkini mereka!

1385 dibaca
Berita Harian X