Selasa, 20 Januari 2015 | 6:34pm

Sumbangan dividen Petronas 'rendah sedikit' tahun ini - KSU Perbendaharaan

PUTRAJAYA: Sumbangan dividen Petronas kepada kerajaan pada tahun ini akan rendah sedikit berbanding sumbangan sebelum ini berikutan jumlah berkenaan akan dikira berdasarkan harga minyak mentah tahun lalu.

Menangkis salah tanggapan sumbangan syarikat minyak nasional itu kepada kerajaan akan berkurangan dengan banyak disebabkan kemerosotan harga minyak mentah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata jumlah itu, yang telah diputuskan oleh Petronas, akan diumumkan tidak lama lagi.

"Tahun lepas, harga kukuh apabila minyak mentah Brent dijual pada AS$115 setong pada Jun.

"Ia (jumlah itu) akan rendah sedikit tetapi jumlah penurunan dividen itu tidak banyak," katanya kepada pemberita selepas taklimat berhubung perutusan khas mengenai langkah-langkah untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

Pada 1 Disember lalu, Petronas dilaporkan menyatakan harga minyak rendah memaksa pengurangan sebanyak 15-20 peratus dalam perbelanjaan modalnya pada tahun ini, manakala dividen kepada kerajaan dijangka berkurangan sebanyak 37 peratus jika harga minyak kekal rendah.

Mohd Irwan Serigar berkata sumbangan dividen bagi tahun depan adalah tidak pasti berikutan harga minyak mentah Brent global terus tidak menentu, dengan ketidakpastian apa yang Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan atau tidak akan membuat keputusan berkaitan pengurangan pengeluaran.

Setakat ini, OPEC tidak bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran manakala minyak daripada negara-negara bukan anggota OPEC .

Bagaimanapun, memetik laporan penganalisis, katanya trend penurunan harga minyak adalah sementara sahaja, dengan harga minyak mentah Brent dijangka meningkat semula menjelang akhir tahun.

Terdahulu, pada sesi taklimat, Mohd Irwan Serigar berkata perolehan berkaitan minyak dan gas kerajaan pada tahun ini berkurangan kepada 21 peratus berbanding unjuran awal sebanyak 26 peratus berikutan kejatuhan harga minyak mentah Brent.

Perolehan bagi Bajet 2015 kini dikira berdasarkan AS$55 setong berbanding AS$100 setong, yang ditetapkan pada Oktober 2014.

Jika harga minyak mentah Brent terus jatuh, katanya kerajaan telah menggariskan beberapa langkah untuk menanganinya, tanpa menjejaskan pertumbuhan sistem penyampaiannya dan lain-lain.

Di samping itu, Mohd Irwan Serigar berkata walaupun beberapa semakan semula dibuat pada tahun ini, negara dijangka mencapai sasaran keseimbangan bajet menjelang 2020.

"Kami mengambil pendekatan yang lebih realistik dan sasaran keseimbangan bajet kami menjelang 2020 masih kekal berikutan situasi ini hanya sementara," katanya.

Beliau berkata Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada sektor petroleum berikutan ekonomi dipelbagaikan dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang menjadi pemacu pertumbuhan. - BERNAMA

Berita Harian X