Selasa, 20 Januari 2015 | 6:56pm
Sebahagian murid sekolah di SK Kalang Kanar, Tenom yang terkandas ke sekolah akibat banjir di kawasan persekitaran sekolah. - Foto Francis Andin
Sebahagian murid sekolah di SK Kalang Kanar, Tenom yang terkandas ke sekolah akibat banjir di kawasan persekitaran sekolah. - Foto Francis Andin

317 penduduk dipindah banjir landa Beaufort, Tenom

Jalan Tapikong - Uloi, Tenom yang dinaiki air kesan daripada hujan lebat. - Foto Francis Andin
Jalan Tapikong - Uloi, Tenom yang dinaiki air kesan daripada hujan lebat. - Foto Francis Andin

KOTA KINABALU: Seramai 317 orang daripada 101 keluarga dipindahkan di tiga pusat pemindahan sementara di Beaufort dan Tenom, berikutan banjir gelombang kedua yang melanda kedua-dua daerah itu dalam tempoh sebulan.

Setakat jam 6 petang tadi, lebih 40 kampung dinaiki air susulan limpahan Sungai Padas yang menjejaskan kira-kira 5,000 penduduk.

Seramai 274 orang daripada 90 keluarga dipindahkan di Dewan Masyarakat Membakut, Beaufort, manakala 24 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di Dewan Masyarakat Baru, pekan Beaufort dan 19 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan di Rumah Kebudayaan Kampung Naluyan, Tenom.

Operasi Keretapi Negeri Sabah (KNS) antara Stesen Beaufort-Kota Kinabalu dan Stesen Beaufort-Tenom turut terjejas berikutan beberapa laluan ditenggelami air.

Bagi perkhidmatan KNS dari Kota Kinabalu ke Beaufort, kereta api hanya beroperasi hingga Stesen Bongawan di Papar, kira-kira 30 kilometer dari Stesen Beaufort.

Sementara itu, sebanyak 10 sekolah ditutup kerana dinaiki air dan menjejaskan 2,526 murid dan pelajar di Beaufort, manakala dua sekolah yang turut terbabit banjir di daerah itu beroperasi seperti biasa.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip, berkata sebuah sekolah ditutup di Papar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sumbiling kerana jalan masuk ke sekolah tidak dapat dilalui, manakala SK Kalang Kanar di Tenom dilaporkan dinaiki air tetapi dibuka seperti biasa.

Secara keseluruhan, Jame berkata, sebanyak 14 sekolah termasuk sebuah sekolah menengah terbabit dengan banjir di Beaufort, Papar dan Tenom, membabitkan 2,982 murid dan pelajar serta 306 guru.

Berita Harian X