Rabu, 21 Januari 2015 | 2:40pm
SHERRY Ibrahim

Sherry Ibrahim tinggalkan LOL

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun bersama pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Entertainmet, Sherry Ibrahim akhirnya memilih untuk bergerak sendiri.

Keputusan itu dibuat pelakon drama Cinta Ibadah itu beberapa hari lalu.

Bagaimanapun pengunduran Sherry daripada terus bernaung daripada syarikat itu tidak timbul sebarang masalah berbangkit tetapi lebih kepada soal sudah tiba masa untuk berdikari semula.

"Sejak dulu lagi saya sudah terbiasa berdikari semasa membabitkan diri di arena seni. Saya rasa juga ia berbalik kepada soal masa. Saya keluar dari LOL secara baik. Kami ada berbincang yang sangat positif. Saya perlu berterima kasih kepada LOL kerana membantu saya selama ini.

"Insya-Allah saya boleh berdikari dan bergerak sendiri. Setakat ini tak ada masalah untuk merencana semuanya sendiri," katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan lain, pelakon berkenaan yang cukup akrab dengan Fattah Amin itu bakal muncul dengan drama 6o episod berjudul Keluarga Karaoke bagi siaran Astro Mustika HD.

Sherry juga disenaraikan di bawah pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular.

"Saya juga akan kembali ke lokasi penggambaran drama Cinta Ibadah. Saya sebelum ini terbabit hingga episod ke 80 saja. Kini penggambaran sudah melepasi episod yang ke 100 dan saya akan mula terbabit untuk fasa ini pula.

"Mengenai ABPBH 2014 pencalonan awal itu, saya tak pernah letakkan harapan tapi syukur Alhamdulillah di atas pencalonan awal ini. Saya dapat tahu kelab peminat saya pun ada yang bersemangat melobi nama saya untuk ke peringkat seterusnya," katanya.

Selain menanti drama Keluarga Karaoke dan Cinta Ibadah terus bersiaran, Sherry juga tak lama lagi akan muncul dengan rangkaian produk jenama sendiri bersama rakan kongsinya.

"Baju ini sesuai untuk semua wanita kerana ia pakaian yang tidak menjolok mata. Paling penting ia ada kualiti kerana pihak kami mereka sendiri rekaan kemudian menempah dan seterusnya menjual," katanya.

Berita Harian X