Rabu, 21 Januari 2015 | 4:04pm

35 sekolah di tiga daerah Sabah ditutup akibat banjir

Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kong Ming ditutup sesi persekolahan sejak kelmarin berikutan banjir yang melanda Beaufort sejak semalam. - Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Sebanyak 35 sekolah termasuk dua sekolah menengah di Beaufort, Papar dan Sipitang ditutup akibat banjir hari ini.

Ini membabitkan seramai 5,455 murid dan pelajar dengan 4,534 adalah murid sekolah rendah manakala selebihnya pelajar sekolah menengah serta 660 guru.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip, berkata sekolah berkenaan ditutup kerana kawasan sekolah dinaiki air, selain terputus hubungan kerana jalan raya digenangi banjir.

"Dua sekolah menengah yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut dan Sekolah Menengah (SM) St John, kedua-duanya di Beaufort.

"Sebanyak 28 sekolah rendah di Beaufort turut ditutup manakala tiga di Sipitang dan dua di Papar," katanya di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X