X
Rabu, 21 Januari 2015 | 10:03pm

Waris atlet bola baling negeri terima pampasan RM100,000

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (tiga dari kiri), menyerahkan cek Skim Insurans Atlet Terengganu kepada bapa Allahyarham atlet bola baling, Mat Nasir Majin (dua dari kiri), sambil diperhatikan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat (kiri) dan Setiusaha Kerajaan Terengganu, Datuk Osman Muda, pada Majlis Penyerahan Cek Insurans Kematian Kepada Keluarga di Wisma Darul Iman, hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA TERENGGANU: Keluarga kepada seorang atlet bola baling negeri, Allahyarham Muhammad Naim Mat Nasir yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 2013, menerima pampasan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) berjumlah RM100,000 hari ini.

Pampasan tersebut melalui Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Berkelompok daripada MCIS Zurich Insurance Berhad disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman kepada waris mangsa selepas mesyuarat mingguan Exco.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri melalui MSNT sebelum ini menyediakan skim perlindungan insurans kemalangan secara berkelompok untuk semua atlet dan pegawai di bawah jabatan itu.

"Setiap atlet MSNT dilindungi insurans. Dengan adanya pampasan seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek berkenaan kepada Mat Nasir Majin, bapa kepada allahyarham Muhammad Naim di Wisma Darul Iman di sini.

Allahyarham, yang berasal dari FELCRA Gugusan Keruak, Jerteh di Besut meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Kubang Jela Manir pada 14 Disember 2013.

Ketika itu allahyarham yang berumur 18 tahun juga adalah pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai dan beliau turut terpilih mewakili Terengganu ke Kejohanan Bola Baling Terbuka Kebangsaan di Perak pada 21 Disember 2013.

Sementara itu, Mat Nasir berkata wang diperoleh daripada insurans itu akan digunakan sebaiknya untuk kebajikan termasuk mengadakan majlis tahlil untuk arwah. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X