Khamis, 22 Januari 2015 | 9:58am

Langkah proaktif perkukuh ketahanan ekonomi negara

Pertama sekali, marilah kita mengucapkan syukur tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia ini. Begitulah ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Dalam majlis ini, kita berhimpun bersama-sama, sebahagian pimpinan dan pentadbir, penjawat awam, ketua industri dan orang korporat, wakil kedutaan, golongan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan. Seterusnya, yang dikasihi seluruh rakyat Malaysia, sama ada di dalam dewan atau sedang menonton mendengar perutusan khas ini.

Tujuan saya berucap, adalah untuk memberi penjelasan terkini mengenai perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara. Mutakhir ini, terdapat laporan, kebimbangan dan pertanyaan terutama berkaitan harga minyak dan kedudukan nilai mata wang ringgit.

Kerajaan pantau keadaan

Ketahuilah bahawa, kerajaan memang sentiasa memantau keadaan ini sejak awal. Sehubungan itu, hari ini, kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah proaktif untuk membuat pengubahsuaian yang spesifik, bagi menjajar semula dasar kita, beriring dengan perubahan senario ekonomi global, yang faktornya berada di luar kawalan kita. Ini dilakukan untuk kita terus mencapai pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan lagi boleh dibanggakan.

Dalam erti kata lain, I am here today to announce specific and proactive measures to align ourselves with the recent global economic developments.

We are not in crisis. Indeed, we are taking preemptive measures following the changes of the external global economic landscape, which are beyond our control.

This is to ensure that our economy continues to attain a respectable and reasonable growth. And at the same time, we want to ensure and must ensure development of the nation and socio economic welfare of the people to be continue to be the main focus of the government.

Sesungguhnya takwim 2014 yang lalu, adalah tahun amat mencabar dan begitu menduga bagi kita dengan pelbagai tragedi.

Pada penghujung tahun lalu, Malaysia diuji dengan musibah banjir yang luar biasa. Ia melanda beberapa negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung, antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak.

Di beberapa negeri lain, sungguhpun tidak begitu kritikal, banjir turut memberi kesan kepada penduduk di sesetengah tempat di Johor, Sabah dan Sarawak. Demikianlah, seperti yang difirmankan bahawa, manusia merancang, Allah merancang, sesungguhnya Allah jugalah sebaik-baik Perancang.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, dalam segala kudrat kerajaan dan pentadbiran, kita cuba merencana, merangka, menyusun dan berikhtiar untuk melaksanakan setiap sesuatu dengan sehabis baik demi kepentingan dan keperluan rakyat.

Justeru, jika diimbau, secara keseluruhannya, kira-kira hanya sekitar tiga bulan lebih yang lalu, ketika Bajet 2015 dibentangkan, perancangan kerajaan adalah berpremiskan, antaranya, pertama, unjuran harga minyak Dated Brent pada kadar AS$100 dolar setong.

Kedua, pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka mencatat antara lima hingga enam peratus. Ketiga, kadar pertukaran matawang yang kekal stabil pada RM3.20 berbanding dolar Amerika.

Keempat, ketika bajet itu digubal, pertumbuhan ekonomi dunia pada 2015 diunjurkan oleh Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) adalah pada kadar 3.4 dan 3.9 peratus. Kini, mereka mengkaji semula kadar dan meletakkan paras lebih rendah di antara 3 hingga 3.8 peratus.

Perlu difahami juga, sewaktu Bajet 2015 digubal, it was based on strong fundamentals, yakni asas 2014 yang teguh. Oleh sebab itulah, defisit fiskal tahun 2015 telah diunjurkan pada kadar 3 peratus, berbanding pada kadar 3.5 peratus pada 2014.

Bagaimanapun, kontemporari ini, mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa, persekitaran dan percaturan ekonomi dunia telah berubah, secara langsung memberi impak kepada Malaysia sebagai, antara negara yang mempunyai dagangan terbesar di dunia.

Maksudnya, berbanding situasi beberapa bulan yang lalu, kini, landskap ekonomi sudah berubah dalam bentuk yang signifikan. Beberapa perkara pokok yang kerajaan unjurkan, bagi merancang ekonomi dan kewangan negara, kini perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya.

Turut dibangkitkan adalah keupayaan kerajaan untuk mencapai sasaran fiskal pada 2015. Ramai ingin tahu, persoalannya, berdasarkan situasi semasa ini, adakah ekonomi dan kewangan negara akan terjejas?

Oleh yang demikian, perutusan khas hari ini disampaikan supaya rakyat Malaysia mendapat penjelasan langsung daripada kerajaan mengenai perkara ini. Saya juga akan mengumumkan beberapa strategi, berikutan kedudukan ekonomi semasa.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus merintis serta mencari jalan bagi memastikan negara terus membangun dan kesejahteraan rakyat terjamin.

Kita sedar mutakhir ini, wujud pertanyaan dalam kalangan rakyat, komuniti perniagaan dan penganalisis bersabit kesan kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia ke atas ekonomi Malaysia. Merujuk kepada trend harga minyak mentah global, dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, ia menjunam lebih 50 peratus. Ini disebabkan lebihan bekalan dan permintaan global yang berkurangan.

Selain itu, ini juga disebabkan pengeluaran gas dan minyak 'shale' yang meningkat ketara di Amerika Syarikat berikutan kemajuan teknologi industri pengeluaran minyak.

Dalam masa sama, keadaan ini menjadi lebih buruk dengan pertambahan bekalan daripada kalangan negara bukan OPEC. Manakala, negara OPEC pula enggan mengurangkan pengeluaran mereka bagi mengekalkan penguasaan pasaran. Di sinilah pihak kerajaan sering ulang-ulangkan dan berharap, agar rakyat dapat sama-sama memahami bahawa, isu harga minyak mentah bukanlah sesuatu yang berada dalam kawalan langsung kerajaan.

Kerana itulah, penanda aras harga minyak mentah Dated Brent terkini turun kepada sekitar AS$48 setong pada hari semalam, yakni 19 Januari 2015. Walaupun begitu, penganalisis menjangkakan harga minyak akan mengambil tempoh tertentu untuk kembali stabil.

Apabila berlakunya penurunan harga minyak seperti sekarang, hikmahnya, ia membawa manfaat kepada negara pengimport bersih minyak seperti Malaysia. Sebagai contoh, apabila pengurangan harga runcit petrol dan diesel pada 35 dan 30 sen seliter baru-baru ini, tambahan pendapatan boleh guna atau 'disposable income' pengguna rakyat Malaysia secara kasarnya adalah di sekitar RM7.5 bilion. Dengan andaian pengguna membelanjakan 40 peratus daripada jumlah itu, ini akan meningkatkan penggunaan swasta sebanyak RM3 bilion.

Impak positif pertumbuhan ekonomi global

Selain itu, Bank Dunia mengunjurkan harga minyak mentah yang lebih rendah akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi global. Malah, penurunan harga minyak sebanyak 30 peratus, mampu meningkatkan pertumbuhan KDNK dunia sehingga 0.5 peratus.

Ini secara tidak langsung, akan memberi kelebihan kepada permintaan produk buatan Malaysia. Dengan kedudukan ekonomi Amerika Syarikat yang semakin kukuh pula, permintaan terhadap eksport Malaysia terus mampan terutamanya bagi produk elektrik dan elektronik.

Ironisnya, kejatuhan harga minyak mentah dunia, memberi impak secara langsung dalam mengurangkan pendapatan negara. Pendapatan inilah, yang kerajaan gunakan bagi tujuan pembangunan seperti membina sekolah, jalan raya dan rumah ibadat.

Ia juga digunakan untuk perbelanjaan kerajaan termasuklah membayar gaji penjawat awam, menampung kos ubat di hospital kerajaan, subsidi pertanian dan kos perbelanjaan keselamatan untuk anggota RELA, tentera, polis dan sebagainya.

Seperti yang saya nyatakan, harga minyak mentah dunia menjunam. Berdasarkan paras tertinggi minyak mentah Dated Brent, iaitu sebanyak AS$115 yang direkodkan pada 19 Jun 2014, harga semasa menunjukkan kemerosotan melebihi 50 peratus.

Selaras itu, ahli ekonomi berpendapat unjuran paras harga asas AS$100 setong semasa Bajet 2015 dibentangkan, adalah tidak lagi realistik. Mereka kini, menganggarkan purata harga minyak bagi tahun 2015 adalah antara AS$40 hingga AS$70 setong.

Lantaran itu, kerajaan perlu menyemak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak, kepada AS$55 setong bagi 2015, berasaskan unjuran bajet yang disemak kembali.

Jika berasaskan kepada harga minyak mentah pada AS$100 setong, serta mengambil kira penjimatan hasil pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak sejak Disember 2014, kerajaan dijangka memperoleh tambahan lebihan semasa akaun fiskal, RM3.7 bilion.

Dalam kata lain, seandainya harga minyak mentah kekal pada AS$100 setong, kerajaan mampu menampung pelaksanaan semua langkah yang diumumkan dalam Bajet 2015, dengan sasaran defisit fiskal tidak melebihi tiga peratus.

Namun begitu jika sebaliknya, pada harga AS$55 setong yang diunjurkan sekarang, kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sebanyak RM13.8 bilion.

Maknanya di sini, jika dibuat perbandingan, di antara angka semakan terkini dengan Bajet 2015 yang dibentangkan pada Oktober lalu, sekalipun peruntukan subsidi bahan api dapat dijimatkan sebanyak RM10.7 bilion melalui pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak, namun, kerajaan masih mengalami kekurangan hasil sebanyak RM8.3 bilion bagi menampung Bajet 2015.

Jelasnya, jika dibiarkan, paras defisit tanpa intervensi kerajaan, defisit akan meningkat kepada 3.9 peratus daripada KDNK, berbanding sasaran tiga peratus bagi tahun 2015.

Keadaan ini, memaksa kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan defisit, selaras dengan komitmen kerajaan ke arah konsolidasi fiskal.

Oleh itu, dengan mengambil kira unjuran yang disemak itu, kita dengan ini, menetapkan sasaran defisit yang dikaji semula kepada 3.2 peratus, daripada KDNK pada tahun 2015.

Kadar ini masih rendah berbanding defisit fiskal 3.5 peratus daripada KDNK pada 2014. Dan realitinya, dengan faktor luaran ini, kita harus menerima hakikat, bahawa kita tidak mungkin mencapai sasaran asal Bajet 2015, dengan defisit fiskal pada kadar tiga peratus daripada KDNK seperti yang diumumkan.

Namun yang penting, adalah komitmen kita, untuk terus mengurangkan defisit fiskal daripada paras 3.5 peratus pada penghujung tahun lalu.

Kebajikan rakyat tak diabaikan

Yang paling utama juga, kita tidak akan berkompromi ke atas perancangan pembangunan negara, kerana ia akan meningkatkan kapasiti produktif kepada ekonomi negara. Sekali gus, kita tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan semua rakyat, khususnya golongan pendapatan isi rumah 40 peratus terbawah.

Seperkara lagi yang perlu diketahui oleh kita semua, perihal turun-naik nilai mata wang, asasnya, adalah berdasarkan pengaruh ekonomi global. Oleh kerana itu, ringgit bukanlah satu-satunya mata wang yang nilainya menyusut berbanding dolar Amerika.

Malah, hampir semua mata wang serantau turut menyusut berbanding dolar Amerika sejak September 2014.

Ketidaktentuan dalam aliran modal dan penyusutan nilai ringgit yang signifikan baru-baru ini juga, disebabkan kebimbangan terhadap impak kejatuhan harga minyak yang mendadak ke atas ekonomi.

Sehubungan itulah, kerajaan perlu memastikan perkara berikut dipantau dengan sebaik mungkin. Pertama, akaun semasa dalam imbangan pembayaran, perlu sentiasa kekal dalam lebihan. Kedua, meneruskan langkah-langkah 'fiscal reform' dan consolidation.

Ketiga, aktiviti ekonomi negara perlu terus dipelbagai dengan sewajarnya, supaya negara mampu menghadapi kejatuhan harga minyak dan komoditi.

Namun, kerajaan yakin kadar tukaran ringgit, akan mengalami penyesuaian dalam tempoh tertentu dan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Apa yang penting, 'our financial system continues to function in an orderly manner'.

Paling mustahak, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan atau 'financial intermediation' dengan aktiviti pinjaman kekal lancar. Selanjutnya, aktiviti perniagaan terus mendapat akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal.

Pucuk pangkalnya, kerajaan yakin, semua ini, diiringi dengan polisi atau dasar yang lebih dinamik, rizab antarabangsa yang mencukupi dan kukuh, pasaran kewangan yang pelbagai dan mendalam, sistem perbankan yang teguh serta pelabur institusi tempatan yang kukuh, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), akan terus meningkatkan daya tahan Malaysia untuk menampan sebarang turun naik aliran modal.

Menyentuh mengenai Imbangan Akaun Semasa negara pula, perlu diketahui bahawa ia berkait langsung dengan imbangan perdagangan import dan eksport. Seperti yang ramai tahu, kita adalah negara pengeksport minyak. Maka, wujudlah tanggapan bahawa, apabila harga minyak merudum baru-baru ini, pendapatan daripada eksport keseluruhan kita, akan turut merosot secara mendadak, yang seterusnya mengakibatkan berlakunya defisit akaun semasa.

Sesungguhnya, tanggapan ini tidak benar. Sebetulnya, bagi minyak mentah, kita adalah pengeksport bersih dengan nilai lebihan eksport sebanyak RM7.7 bilion untuk tempoh Januari hingga November 2014. Manakala, bagi produk petroleum, kita adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak RM8.9 bilion untuk tempoh yang sama.

Justeru, dengan gabungan kedua-dua minyak mentah dan produk petroleum ini, kita sebenarnya adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak RM1.2 bilion. Satu hakikat yang ramai tidak sedar. Oleh itu, tanggapan atau persepsi umum selama ini, bahawa Malaysia adalah pengeluar minyak yang surplus atau berlebihan, adalah juga tidak tepat.

Sebaliknya, jika dicampur eksport serta import minyak mentah, dan ditolak produk petroleum, maka, Malaysia sebenarnya, negara pengimport bersih petroleum. Perkara ini namun tidak termasuk Gas Cecair Asli atau LNG, di mana Malaysia masih negara pengeksport bersih.

Situasi negara masih utuh

Tambahan lagi, situasi kita masih utuh, berikutan kejayaan kita selama ini dalam mempelbagaikan ekonomi negara, sehingga dapat menampung kejatuhan harga minyak. Sememangnya lagi, kesan kejatuhan harga minyak, dijangka dapat ditampung oleh peningkatan permintaan bagi barangan pembuatan seperti barangan elektrik dan elektronik, produk berasaskan kayu-kayan, produk tekstil serta lain-lain, yang terdiri daripada 76 peratus jumlah eksport. Manakala, eksport minyak mentah hanyalah mewakili 4.5 peratus daripada jumlah eksport.

Bersandarkan yang demikian, kerajaan yakin imbangan akaun semasa akan kekal mencatat lebihan pada tahun ini, walaupun nilainya mengecil kepada dua hingga tiga peratus, daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) berbanding pada 2014, imbangan lebihan semasa dianggar mencatat 5.1 peratus daripada PNK.

Jelas, saya menghuraikan beberapa isu atau perkara yang akan memberi impak besar kepada ekonomi negara. Berdasarkan situasi ini, kerajaan perlu mengambil langkah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berada pada landasan yang kukuh. Insya-Allah, kita mampu mencapai pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini, dengan melaksanakan strategi berikut.

  • Pertama: Memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang, inklusif dan mapan
  • Kedua: Meneruskan fiscal reform and consolidation
  • Ketiga: Menyediakan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan bagi membina semula infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

Strategi Pertama

Memastikan Pertumbuhan Ekonomi Yang Seimbang, Inklusif Dan Mapan.

Bagi merancakkan eksport barangan dan perkhidmatan, beberapa tindakan berikut akan diambil:

  • Pertama, mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import atau import-substitution seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional. Ini, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar bagi perolehan barang dan perkhidmatan.
  • Kedua, menyegerakan pelaksanaan cadangan daripada Majlis Eksport Kebangsaan (NEC) iaitu, membantu pengeksport terutamanya perusahaaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapat prospek pelanggan baharu di pasaran yang baharu, di bawah program jaringan antarabangsa menggunakan penghubung pasaran dan pakar industri.

    Seterusnya, mempergiat program promosi eksport di 46 negara meliputi Asia, Eropah, Asia Barat dan Amerika Syarikat; memperkenalkan SME-Go melalui SME Bank, sebuah program eksport untuk PKS, dan memanfaatkan Dana Perkhidmatan Eksport serta program promosi PKS untuk meningkatkan kemampanan eksport ke luar negara;

  • Ketiga, menambah baik 'last mile connectivity' ke Pelabuhan Klang seperti jalan masuk, jaringan landasan dan sistem pengurusan trafik, bagi mempercepatkan pelaksanaan 'Logistik dan Fasilitasi Dagangan'.

    Selain itu, menaik taraf terminal keretapi Padang Besar; menambah baik kecekapan operasi proses import dan eksport, serta menubuhkan sistem hab dan jaringan perhubungan udara;

  • Keempat, mempergiatkan keseluruhan industri pelancongan negara;
  • Kelima, mengambil langkah untuk mengkaji semula kadar levi yang dikenakan ke atas pekerja asing
  • Keenam, visa diberi secara percuma kepada pelancong antaranya dari China

Selanjutnya, bagi meningkatkan penggunaan swasta pula, kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

  • Pertama, memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan kelas G1 yakni kelas F, G2 yakni kelas E dan G3 yakni kelas D, yang berdaftar dengan CIDB, untuk melaksanakan kerja baik pulih di kawasan masing-masing yang terjejas akibat banjir;
  • Kedua, mempergiatkan promosi pembelian barangan Buatan Malaysia;
  • Ketiga, meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh operasi jualan mega di seluruh negara;
  • Keempat, mempergiatkan promosi pelancongan domestik dengan menawarkan tambang penerbangan yang kompetitif; dan
  • Kelima, menggalakkan sektor swasta meraih peluang daripada pewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN.

Seterusnya, dalam usaha merancakkan pelaburan swasta di Malaysia, kerajaan akan:

  • Pertama, menubuhkan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah RM5 bilion kepada PKS dalam Sektor perkhidmatan, dengan pembiayaan maksimum RM5 juta dan jaminan kerajaan 70 peratus;
  • Kedua, menggalakkan GLC dan GLIC melabur dalam negara;
  • Ketiga, mengurangkan kos kendalian perniagaan melalui penangguhan cadangan kenaikan tarif elektrik pada 2015; dan penangguhan cadangan kenaikan harga gas untuk sektor industri pada 2015;
  • Keempat, memperuntukkan 30 peratus daripada perbelanjaan tahunan agensi kerajaan dan GLC untuk perolehan bekalan serta perkhidmatan kepada PKS tempatan bertaraf pembuat; dan
  • Kelima, mempergiatkan penggunaan bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan kerajaan.
    • Strategi Kedua - Meneruskan Fiscal Reform and Consolidation

      Antara langkah yang akan diambil bagi meningkatkan hasil kerajaan adalah:

      • Pertama, meluaskan asas percukaian dengan menggalakkan syarikat mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), bagi meningkatkan hasil daripada kutipan GST. Ini akan menyumbang kepada tambahan kutipan GST sebanyak RM1 bilion. Sehingga pertengahan Januari 2015, lebih 304,000 syarikat telah berdaftar; dan
      • Kedua, meningkatkan kutipan dividen daripada GLC dan GLIC serta badan-badan kerajaan lain yang dapat menyumbang tambahan hasil sebanyak RM400 juta

      Bagi langkah merasionalisasi perbelanjaan pula, kerajaan akan:

      • Pertama, mengoptimumkan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan profesional yang memberi penjimatan sebanyak RM1.6 bilion;
      • Kedua, menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun 2015, dengan penjimatan RM400 juta bagi membolehkan program dikaji semula dan ditambah baik;
      • Ketiga, mengkaji semula pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan, terutama yang mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab yang tinggi. Langkah ini dijangka memberi penjimatan sebanyak RM3.2 bilion;
      • Keempat, menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutama peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak RM300 juta.

      Strategi Ketiga

      Penyediaan Bantuan Kepada Rakyat Dan Komuniti Perniagaan Serta Membina Semula Infrastruktur Yang Terjejas Akibat Banjir

      Banjir baru-baru ini, telah membabitkan sekitar 400,000 mangsa di seluruh negara. Anggaran terkini kemusnahan infrastruktur mencecah hampir RM2.9 bilion.

      Antara tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir, adalah seperti berikut:

      • Kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta sebagai bantuan permulaan, atau 'initial allocation' untuk kerja-kerja baik pulih, dan program kebajikan mangsa banjir, tambahan kepada tabung Majlis Keselamatan Negara (MKN), menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM787 juta;
      • Sebagai peruntukan awalan, kerajaan menyediakan RM800 juta untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan;
      • Menyediakan RM893 juta bagi Bajet 2015 untuk rancangan tebatan banjir;
      • Membina rumah-rumah kampung bertiang atau 'stilt houses' setinggi lapan kaki yang musnah akibat banjir kepada mereka yang mempunyai tanah sendiri;
      • Menyerahkan 1,000 unit rumah kos rendah yang sudah siap di Gua Musang;
      • Memberi bantuan RM500 ringgit bagi setiap keluarga yang terbabit bermula hari ini; dan
      • Menghulur sumbangan RM5,000 kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga.
      • Bagi perniagaan yang terjejas pula, tambahan RM100 juta disediakan kepada TEKUN dan RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), bagi menyediakan pinjaman mudah untuk menyokong PKS dan perusahaan mikro.
      • Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, SME Bank, TEKUN dan AIM akan menangguhkan tempoh bayaran balik pinjaman yang telah diambil, sehingga enam bulan.
      • Bank Negara Malaysia akan menubuhkan Kemudahan Bantuan Khas atau Special Relief Facility, berjumlah RM500 juta untuk menyediakan pembiayaan pinjaman SME pada kadar lebih rendah (concessionary rate) iaitu 2.25 peratus, dengan penangguhan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan melalui institusi pembangunan kewangan dan perbankan.
      • Bank Rakyat pula, akan menawarkan Skim Pinjaman Peribadi sehingga RM50,000 pada kadar keuntungan serendah 3.9 peratus, dan bayaran balik pinjaman bermula selepas enam bulan dari tarikh pengeluaran.
      • Selain itu, sejumlah RM500 juta akan disediakan oleh institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir. Skim ini akan diuruskan oleh ProKhas;
      • Pengecualian pembayaran levi oleh majikan kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia, untuk tempoh enam bulan bagi PKS di kawasan yang terjejas berkuat kuasa 1 Februari 2015.

      Secara keseluruhannya, dalam perutusan saya pada pagi ini, dapat saya rumuskan 6 perkara 'as the key take-away points':

      • Pertama, kita bukan di dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana pada 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti 2009 yang lalu, sehingga pakej-pakej stimulus perlu dilaksanakan.
      • Kedua, strategi kerajaan yang diumumkan tadi, adalah langkah proaktif untuk melakukan penyesuaian atau 'adjustment', berikutan faktor luaran yang di luar kawalan kita. Ini adalah satu 'reality check', berikutan antaranya perubahan harga minyak dunia.
      • Ketiga, Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran kita, Insya-Allah, dijangka kekal positif dan tidak berada dalam defisit.
      • Keempat, pasaran kewangan tetap teratur dan kukuh. Malah, mata wang ringgit, walaupun mengalami penyesuaian ketika ini, akan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Insya-Allah.
      • Kelima, Perbelanjaan Pembangunan atau Development Expenditure yang diperuntukkan dalam Bajet 2015 sebanyak RM48.5 bilion tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan.

      Ini termasuklah, projek-projek bersifat 'people economy', yakni perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan air, elektrik dan pengangkutan awam seperti Lebuhraya Pan Borneo.

      Di samping itu, projek-projek MRT jajaran kedua, LRT dan High Speed Rail Kuala Lumpur-Singapura, Rapid di Pengerang akan tetap diteruskan.

      Malah, pada Mei nanti, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), bagi merencanakan pula perbelanjaan pembangunan negara sehingga tahun 2020 dan akhirnya;

      Yang keenam, Perbelanjaan Mengurus atau Operating Expenditure dijangka akan dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.

      Akhir kalam, marilah kita banyakkan berdoa, dan bertawakal supaya Allah SWT sentiasa memberi bantuan-Nya, kepada ikhtiar kita dalam terus membangun dan memakmurkan negara.

      Sesungguhnya, dalam segala kudrat manusiawi, kepada Allah kita bergantung dan mengembalikan segala urusan. Apa yang paling mustahak, kepada seluruh rakyat Malaysia, sederap dalam satu solidariti, kita mampu menongkah dan melangkah apa jua cabaran serta rintangan yang mendatang.

      Pastinya, pada setiap kesukaran itu, ada janji kesenangan dan bahagia yang menanti.

      Mudah-mudahan, Tuhan Yang Maha Berkuasa terus melindungi tanah air tercinta ini, daripada segala keburukan dan bahaya. Bak kata orang tua-tua, kita berserah rugi dan untung, kepada Allah meminta tolong.

Berita Harian X