Khamis, 22 Januari 2015 | 11:31am

Banjir di Beaufort bertambah buruk

HUJAN lebat sejak dua hari lalu mengakibatkan paras air sungai naik setinggi 9.49 meter dan tinjauan mendapati beberapa premis perniagaan dan sekolah terpaksa ditutup akibat banjir yang melanda Beaufort dan Membakut, Sabah semalam. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Keadaan banjir di Beaufort dilaporkan bertambah buruk pagi ini dengan seramai 1,854 mangsa daripada 546 keluarga dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan setakat jam 10 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, seramai 706 mangsa daripada 243 keluarga dipindahkan ke Dewan Baru Beaufort manakala selebihnya di Dewan Baru Membakut (404 mangsa daripada 130 keluarga), Dewan Kampung Suasa (175 mangsa daripada 15 keluarga) dan Dewan Kampung Kukut (165 mangsa daripada 43 keluarga).

Selebihnya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Beaufort (159 mangsa daripada 49 keluarga), Serambi Warisan Pekan Membakut (157 mangsa daripada 30 keluarga) dan SK St Patrick Membakut (110 mangsa daripada 36 keluarga).

Sementara itu, di Tenom, Pegawai Daerah Madiyem Layapan berkata kira-kira 300 mangsa banjir yang dipindahkan di empat pusat pemindahan di daerah itu semalam sudah dibenarkan pulang jam 9 pagi tadi.

Berita Harian X