Jumaat, 23 Januari 2015 | 7:14pm

Pertumbuhan Malaysia 4.8 peratus tahun ini - OCBC

KUALA LUMPUR: OCBC Bank menyemak semula pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.8 peratus pada 2015 berbanding anggaran awal 5.1 peratus berikutan ketidaktentuan ekonomi global.

Pakar Ekonomi OCBC Bank Singapura, Wellian Wiranto berkata penerapan prospek bajet yang lebih realistik seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Selasa, akan menawarkan beberapa rangsangan.

Semakan semula pertumbuhan ekonomi negara juga adalah gambaran kesan daripada usaha pengukuhan fiskal dan pengurangan dalam aktiviti pelaburan perniagaan, termasuk dalam sektor minyak dan gas, katanya.

"Apabila bercakap mengenai kesan pergerakan harga minyak mentah terhadap Malaysia, ia berada pada sisi negatif sedikit, sebaliknya bagi kebanyakan negara-negara Asia lain pada sisi positif.

"Bagaimanapun, kerajaan Malaysia sudah melakukan banyak perkara sebagai usaha untuk mengurangkan kesan berkenaan dengan memberikan penjelasan berhubung defisit bajet," katanya pada sidang media hari ini.

Pertumbuhan eksport Malaysia pada tahun ini akan disokong oleh kelemahan ringgit dan permintaan berterusan bagi segmen elektronik dan teknologi tinggi daripada AS, katanya.

Wiranto berkata harga minyak mentah akan berada dalam corak jajaran kecil untuk mencecah AS$55 setong pada separuh pertama 2015 dan berpotensi mengukuh sepanjang tahun.

"Risiko terbesar sekarang, jika harga minyak mentah terus kekal rendah atau pada paras lebih rendah, mungkin wujud keperluan bagi pengukuhan fiskal selanjutnya," katanya.

OCBC Bank menjangka Bank Negara Malaysia akan menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas lagi pada pertengahan 2015 dengan jangkaan harga minyak mentah pulih, kesan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan potensi kenaikan kadar dana persekutuan AS.

Ia juga berkata inflasi dijangka antara 3.3 peratus dan 3.4 peratus pada tahun ini.

Sementara itu, ringgit dijangka pada RM3.65 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun.

"Rizab adalah lebih daripada cukup. Bank Negara campur tangan dengan cuba mengehadkan turun naik mata wang dan ia adalah baik berikutan kita tidak mahu mata wang menjadi terlalu tidak menentu," kata Wiranto.

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM388.6 bilion atau bersamaan AS$111.2 bilion hingga pada 15 Januari 2015. - BERNAMA

Berita Harian X