Jumaat, 23 Januari 2015 | 11:23pm

Program penempatan pembantu guru diperluas ke Sabah tahun ini - Muhyiddin


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan cek hasil sumbangan warga pendidikan Sabah yang disampaikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Jame Alip (kanan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad (kiri) pada majlis perjumpaan khas dengan warga Institusi Pendidikan negeri Sabah di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Universiti Malaysia Sabah di sini malam ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Program penempatan pembantu guru bagi menangani masalah beban tugas guru akan diperluaskan ke Sabah mulai tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Buat permulaan katanya, penempatan pembantu guru mengikut enrolmen murid akan dilaksanakan di Kudat, Keningau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, seorang pembantu guru akan ditempatkan di sekolah yang mempunyai enrolmen 500 murid, dua bagi sekolah antara 551 hingga 1,350 murid dan tiga pembantu guru bagi sekolah yang mempunyai lebih 1,350 murid.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri bersama-sama warga institusi pendidikan di negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah, di sini malam ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, program tersebut telah dirintis di Melaka dan Kedah masing-masing pada 2013 dan tahun lepas.

Beliau turut mengumumkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di Sabah akan menerima Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) sebanyak RM72.9 juta tahun ini.

Katanya, jumlah asal elaun tersebut kepada Sabah adalah RM63.3 juta, tetapi ditambah sebanyak RM9.6 juta susulan pertambahan daripada RM166 juta kepada RM186 juta yang diperuntukkan kepada PPP dan AKP di seluruh negara.

"Kementerian juga amat mengambil berat kebajikan semua PPP dan AKP terutamanya yang berkhidmat di sekolah pedalaman.

"Sejak 2007, PPP dan AKP di 872 sekolah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah menerima EKMLTK dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 374 sekolah atau 42 peratus daripada jumlah tersebut merupakan sekolah di Sabah," katanya.

Muhyiddin juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.3 juta sudah diluluskan bagi pelaksanaan fasa kedua projek menaik taraf Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya di sini menerusi Pelan Pusingan Keempat Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) tahun ini.

Menurutnya, kos keseluruhan projek tersebut adalah sebanyak RM83 juta.

Pada majlis itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip menyampaikan replika cek berjumlah RM106,800 sumbangan Jabatan Pendidikan Sabah kepada Tabung Bencana Alam, Kementerian Pendidikan yang diterima oleh Ketua Setiausaha Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Majlis, yang dihadiri kira-kira 2,000 warga pendidik, turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - BERNAMA

Berita Harian X