Sabtu, 24 Januari 2015 | 4:52pm
 TIANG pencawang yang siap ditukar baru di kawasan yang dilanda banjir di kampung Dusun Nyior, Gua musang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar.
TIANG pencawang yang siap ditukar baru di kawasan yang dilanda banjir di kampung Dusun Nyior, Gua musang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar.

Operasi 2,788 pencawang elektrik pulih sepenuhnya

PADANG TERAP: Kesemua 2,788 pencawang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terjejas akibat banjir di Pantai Timur berjaya dipulihkan untuk beroperasi seperti sedia kala.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata TNB membelanjakan RM131 juta membaiki segala kemudahan bekalan elektrik yang terjejas ketika bencana itu, bulan lalu. "Pengurusan tertinggi TNB menyatakan, perbelanjaan itu ditanggung sendiri atas dasar ehsan syarikat. Enam pencawang elektrik terakhir yang terjejas di Gua Musang juga telah dibaik pulih dan kembali beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan stesen janaelektrik menggunakan sekam padi pertama di Malaysia di Padang Kerasak, Naka hari ini.

Syarikat Majunaka Eco Energy Sdn Bhd akan membelanjakan RM106 juta untuk membina stesen jana elektrik yang berkemampuan menjana 9.95MW kuasa elektrik menggunakan sumber bahan bakar iaitu sekam padi. Pembinaan stesen jana elektrik menggunakan sekam padi dijangka mengambil masa selama setahun setengah dengan stesen berkenaan dijangka memulakan operasi pada pertengahan 2016.

- BERNAMA

Berita Harian X