Isnin, 26 Januari 2015 | 5:27pm
ENTRI Najib dalam laman Twitter beliau hari ini.

Najib ucap selamat berjaya kepada calon Hadiah Guru Global

KUALA LUMPUR: Pencalonan Yasmin Noorul Amin sebagai antara 50 guru yang disenarai pendek untuk anugerah Hadiah Guru Global anjuran Yayasan Varkey GEMS, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib melalui catatan Twitter beliau menzahirkan ucapan tahniah dan mengucapkan selamat berjaya kepada guru kimia itu yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya.

"Tahniah Cikgu @rainameer kerana berada dalam kalangan 50 yang disenarai pendekkan untuk Hadiah Guru Global. Semoga berjaya," kata beliau.

Yasmin, 38, disenarai pendek untuk anugerah yayasan itu yang berpusat di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Beliau pernah bertugas sebagai jurutera sebelum memutuskan untuk menjadi pendidik.

Anugerah itu dilaporkan menawar hadiah utama AS$1 juta kepada pemenangnya.

Pengumuman mengenai pemenang anugerah itu yang dilihat sebagai 'Hadiah Nobel' bagi golongan pendidik, dijadual pada satu majlis di Dubai, Mac ini. - BERNAMA

Berita Harian X