Selasa, 27 Januari 2015 | 10:10am
Nizam Zaidi

ABPBH: Saingan sengit pencalonan awal Artis Baharu Lelaki


SonaOne


Fattah Amin

KUALA LUMPUR: Melihat kepada calon awal kategori Artis Baharu Lelaki Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, beberapa nama dilihat begitu dominan untuk mara sebagai lima tertinggi yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Nama penyanyi hip hop SonaOne dilihat mampu merebut kuota lima paling popular berdasarkan populariti yang diraihnya beberapa bulan ini.

Apatah lagi namanya menjadi sebutan selepas menyerlah di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-21 dan Anugerah Juara Lagu ke-29.

Tetapi pada akhirnya semua berbalik kepada undian peminat. Jika SonaOne atau nama penuhnya Mikael Adam Mohd Rafae mempunyai kelab peminat atau ada yang terus mempercayai bakatnya tak mustahil beliau akan berada di kelompok lima tertinggi.

Nama Fattah Amin juga kian diperhatikan. Fattah mula melangkah ke dunia glamor dengan menjuarai pertandingan Hero Remaja 2012.

Drama Cinta Ibadah di Astro antara yang membuatkan namanya jadi sebutan selain kisah cinta mengaitkan beliau dengan Sherry Ibrahim.

Dua lagi drama lakonannya Nasuha dan Bencinta juga bakal disiarkan tak lama lagi.

Ketika ini Fattah sedang melunaskan drama Nasuha terbitan Zeel Production di samping Tasha Shilla dan Shah Iskandar untuk slot Ratu TV9.

Ia drama kedua Fattah bersama produksi itu selepas drama Bencinta yang turut menjalani penggambaran di Kuwait bagi siaran TV3.


Shukri Yahya


Nazrief Nazri

Shukri Yahya yang turut mendapat jolokan sebagai Jericho Rosales Malaysia antara hero baru yang terus diberi kepercayaan menerajui sesebuah drama.

Namanya lambat naik. Hanya dua tahun kebelakangan ini saja dia mengecap populariti biarpun sudah empat tahun di arena seni.

Dramanya berjudul Asam Pedas Untuk Dia juga sedang disiarkan di TV3 menerusi slot Dahlia TV3. Shukri berdampingan dengan Dayana Roza. Sehingga kini lebih 10 drama sudah dibintanginya.

Selain itu Nazrief Nazri antara hero pelapis yang terus bersinar saat ini. Sering dianggap seperti Fahrin kerana wajah mereka dikatakan seiras, Nazrief enggan terus dibayangi dengan hal itu kerana beliau mahu berdiri dengan bakatnya sendiri.

Nazrief juga seperti Fattah menyertai pertandingan Hero Remaja 2012 di mana beliau berjaya menempatkan diri dalam kalangan lima terbaik, sekali gus memenangi anugerah Hero Macho.

Drama Anak Ikan arahan Rashid Sibir menjadi percubaan pertamanya di skrin TV.

Nazrief kini berada di bawah pengurusan Uprising Media milik Afdal Shahizad. Turut bersamanya di bawah syarikat pengurusan itu ialah pelakon kacak Keith Foo, Hafreez Adam, Raja Syahiran dan Juliana Evans.

Seorang lagi yang turut bermula menerusi pertandingan Hero Remaja 2012 ialah Hafreez Adam. Drama Tanah Merah mula memperkenalkan nama pemuda ini dalam bidang lakonan.


Hafreez Adam


Syarul Ridzwan

Sehingga kini, lebih lima judul sudah dijayakan olehnya termasuk Puteri Malam, Dilema dan Bila Hati Berbicara.

Syarul Ridzwan juga kini hero kacak igauan ramai. Syarul bermula sebagai pelakon iklan komersial sebelum diberikan watak tambahan dalam drama televisyen, seterusnya menerima kepercayaan membawa watak pembantu dan utama.

Drama 3 Janji lakonannya bersama Shah Iskandar dan Liyana Jasmay yang pernah disiarkan di TV3 dua tahun lalu adalah produksi sulung yang dibintanginya. Namanya juga pernah hangat gara-gara kisah 'cinta' membabitkan beliau dengan Nad Zainal yang putus di tengah jalan.

Tahun lalu nama Keith Foo cukup meledak dek penangan drama Ariana Rose yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3. Ia merubah hidup Keith apabila diberi peluang menggalas watak Tengku Adam di samping Nur Fathia Latiff.

Sebelum menempa nama di negara sendiri, Keith pernah melebarkan sayap ke Indonesia. Beliau terlebih dulu ke sana sebelum Miller dan Ashraf Sinclair. Beliau mencuba nasib dalam dunia komersial sebelum terjun ke bidang lakonan.

Pelakon berketurunan India-Cina itu sudah sembilan tahun menempa nama di sana sebelum kembali ke Malaysia. Keith bakal muncul dengan filem Langit Cinta arahan Osman Ali dan buat pertama kali bergandingan dengan Nur Fazura.


Keith Foo


Hisyam Hamid

Selepas Adi Putra, Aaron Aziz dan Shah Iskandar, Hisyam Hamid menjadi pelakon kelahiran Singapura rebutan produksi. Berhijrah dari Singapura, impak yang diterima daripada populariti drama rantaian, Ariana Rose membantunya untuk berdiri selesa di Malaysia.

Hisyam turut diundang berlakon dalam drama Cinta Ibadah. Ketika ini beliau sedang melunaskan penggambaran drama Memori Cinta Suraya sebanyak 148 episod bergandingan dengan Anzalna. Drama itu terbitan Global Station.

Filem Ophilia lakonan Kodi Rasheed membuka mata ramai. Filem Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin yang turut dibintangi Pekin Ibrahim dan Que Haidar itu mula menyerlahkan bakat Kodi.

Kodi atau nama sebenarnya, Mohd Shazmee Rasheed asalnya menjadi pembantu peribadi (PA) kepada Que untuk cerita Malaikat Tersembunyi. Dan kemudian Raja Mukhriz mengajak beliau menjadi PAnya pula beliau. Daripada situ, Kodi ditawarkan watak Totoi dalam filem Ophilia.


Kodi Rasheed


Fadlan Hazim

Sebelum serius berlakon, Fadlan Hashim terlebih dulu menceburi bidang nyanyian. Fadlan pernah menganggotai kumpulan VIP yang diasaskan Adam AF. Filem Sniper terbitan Metrowealth antara percubaan pertamanya di layar perak.

Fadlan kini muncul dengan drama Delina di TV9 bergandingan dengan Ezzaty Abdullah.

Selain itu, Fadlan juga sedang menanti filem lakonannya berjudul Kelibat ditayangkan penghujung tahun ini yang diterbitkan MIG Pictures.

Ahya Rosli pula bermula sebagai model sebelum mengikut jejak ibunya pelakon Normah Damanhuri. Laluan yang dibuka oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba (Shumi) membintangi filem Tanda Putera mengubah sisi hidupnya.

Daripada sekadar ingin mencuba, beliau kini mula jatuh cinta kepada bidang lakonan.

Cintanya terhadap bidang itu pula kian menebal apabila namanya pernah dicalonkan dalam kategori Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-26.


Ahya Ulumuddin


Faizul Sany

Faizul Sany juara Akademi Fantasia 2013. Faizul turut muncul dengan single solo Sepasang Sayap ciptaan Amir Jahari hingga melayakkan dia muncul juara.

Namun, impak Sepasang Sayap tidaklah serancak single Perempuan ciptaan Faizul sendiri yang kini menjadi sebutan ramai.

Apatah lagi, single Perempuan dipilih menjadi lagu tema drama bersiri popular Suamiku Encik Sotong. Akhir sekali Nizam Zaidi antara bakat yang terus diketengahkan produksi MIG.

Sebelum berlakon, beliau terlebih dulu mencuba nasib sebagai model.

Berita Harian X