Selasa, 27 Januari 2015 | 10:34am

Neymar akui tindakan Ronaldo perlu dihukum

PENYERANG Barcelona dan Brazil, Neymar. - Foto EPA

BARCELONA: Bintang Barcelona, Neymar berkata setiap pemain sentiasa diprovokasi namun mereka perlu bersedia untuk berdepan hukuman sekiranya bertindak balas seperti dilakukan Cristiano Ronaldo ketika Real Madrid menentang Cordoba.

Real mencatat kemenangan 2-1 pada perlawanan La Liga itu, semalam namun ia dibayangi isu Ronaldo yang diarah keluar padang oleh pengadil kerana menyepak pemain lawan.

Pemain terbaik dunia itu ditunjukkan kad merah kerana menendang pertahanan Cordoba, Edimar selain dilihat seperti melakukan tumbukan ke arah seorang lagi pemain lawan.

"Sudah jelas kita tidak boleh melakukan perkara itu dalam apa saja keadaan," kata Neymar.

"Dia mesti dihukum kerana tindakannya itu."

Ronaldo dalam pada itu sudah meminta maaf menerusi laman sosial Twitter miliknya.

"Saya memohon maaf kepada semua orang, terutama kepada Edimar kerana tindakan tidak berfikir saya," kata penyerang Portugal itu.

Seandainya Ronaldo dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan, dia akan terlepas perlawanan menentang Real Sociedad, Atletico Madrid dan Sevilla.

Berita Harian X