Selasa, 27 Januari 2015 | 3:45pm
PERTEMUAN Menteri Luar, Anifah Aman bersama dengan rakan sejawat dari Indonesia, Retno Marsudi selepas mengadakan perbincangan mengenai isu dua hala dan isu serantau di Kota Kinabalu, semalam. - Foto Malai Rosmah Tuah
PERTEMUAN Menteri Luar, Anifah Aman bersama dengan rakan sejawat dari Indonesia, Retno Marsudi selepas mengadakan perbincangan mengenai isu dua hala dan isu serantau di Kota Kinabalu, semalam. - Foto Malai Rosmah Tuah

Kunjungan Jokowi bakal pacu penyelesaian isu sempadan maritim - Duta

KOTA KINABALU: Kunjungan Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia 5 Februari ini dijangka mempercepatkan usaha penyelesaian isu pembatasan maritim kedua-dua negara, kata Duta Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno.

Beliau berkata, selain mengatasi masalah pertindihan kawasan perairan, kedua-dua negara dijangka mencapai kata sepakat berhubung undang-undang dan peruntukan hukuman bagi isu-isu di kawasan laut.

Beliau menjelaskan pada masa ini, perbincangan masih lagi berlangsung di peringkat teknikal, sebelum perjanjian persefahaman (MoU) dapat ditandatangani.

"Jadi, kita akan mendorong 'team teknis' (pasukan teknikal) agar isu perbatasan laut itu diselesaikan supaya tiada lagi tumpang tindih wilayah dan ada ketetapan hukum.

"Sehingga masing-masing daripada kita kalau melaksanakan penegakan hukum di laut tidak ada selisih pendapat lagi," katanya ketika ditemui pemberita di luar Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pertemuan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi di sini, semalam.

Herman berkata, setakat ini Indonesia dan Malaysia sudah mengadakan 26 pertemuan dan berharap lawatan Presiden Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi mampu memacu lagi usaha penyelesaian isu pembatasan maritim kedua-dua negara.

Dalam sidang media selepas pertemuan dengan Retno semalam, Anifah berkata Malaysia dan Indonesia sepakat untuk terus berunding bagi mencari penyelesaian berhubung isu pembatasan maritim melalui mekanisme sedia ada.

Rundingan pembatasan maritim antara Malaysia dan Indonesia turut membabitkan Selat Melaka, Laut Sulawesi and Laut China Selatan.

Sementara itu, Herman berharap lawatan Jokowi akan dapat menambah baik peruntukan-peruntukan sedia ada berhubung isu pekerja asing Indonesia di Malaysia, selain menyelesaikan masalah 'pekerja haram' dengan sebaik mungkin.

Jokowi yang mengambil alih pemerintahan Indonesia Oktober tahun lalu memilih Malaysia sebagai destinasi lawatan rasmi pertamanya ke luar negara.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X