Selasa, 27 Januari 2015 | 4:34pm

Zulkifli Hir 'berkemungkinan besar' terbunuh - Filipina

Zulkifli Hir

MANILA: Filipina menyatakan terdapat "kemungkinan besar" militan warga Malaysia yang disyaki dalang pengeboman Bali pada 2002, terbunuh dalam operasi kontroversi di selatan negara itu yang menyebabkan 44 komando polis terbunuh.

Serangan kelmarin terhadap "sasaran bernilai tinggi" termasuk Zulkifli Hir - antara militan yang paling dikehendaki Amerika Syarikat dengan wang ganjaran AS$5 juta - bertukar menjadi pertumpahan darah dan Presiden Benigno Aquino mengarahkan siasata insiden itu.

Hampir 400 komando polis Filipina menyertai operasi itu di bandar perladangan Mamasapano untuk menahan militan berkenaan - termasuk Zulkifli yang juga dikenali sebagai Marwan - tetapi mereka diserang hendap oleh pejuang Islam.

Mereka berjaya melepaskan diri tetapi tersesat ke wilayah yang dikuasai kumpulan militan lain dan mencetuskan satu lagi pertempuran.

"Terdapat kemungkinan besar, menurut peserta, bahawa Marwan terbunuh dalam operasi itu tetapi perkara ini perlukan pengesahan," kata Menteri Dalam Negeri, Manuel Roxas, pada satu sidang media.

Biarpun mereka gagal mengambil mayat sasaran utama, "mereka dapat mengambil gambar dan gambar berkenaan akan melalui satu proses bagi menentukan sama ada ia adalah Marwan atau tidak."

Zulkifli adalah pembuat bom kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang melancarkan pengeboman pada 2002 di Bali yang meragut 202 nyawa serta beberapa serangan maut lain di Asia Tenggara.

Polis Malaysia dilaporkan masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Filipina berhubung nasib Zulkifli.

Perisytiharan kematian beliau sebelum ini terbukti salah.

Pada Mac 2012, polis anti-keganasan Malaysia menafikan dakwaan tentera Filipina bahawa Zulkifli terbunuh dalam satu serangan udara. - AFP

Berita Harian X