Selasa, 27 Januari 2015 | 6:12pm

88 peratus rakyat bimbang bersara dalam miskin

KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kos sara hidup pada kadar lebih pantas daripada pendapatan dan hutang isi rumah yang tinggi adalah antara sebab 88 peratus rakyat Malaysia bimbang simpanan persaraan mereka tidak akan mencukupi.

Kaji selidik HSBC Bank mendapati lebih 45 peratus daripada warga kerja di negara ini berpendapat kos sara hidup meningkat pada kadar lebih pantas daripada pendapatan mereka, manakala warga Malaysia ialah yang tertinggi di Asia (28 peratus) berkata keupayaan menyimpan untuk persaraan terkesan daripada beban hutang.

"Kesan jangka panjang kelembapan ekonomi global akan dirasai ramai untuk beberapa dekad akan datang.

"Sungguhpun terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi, impak jangka panjang akan menyebabkan gelombang kepada jutaan rakyat yang terpaksa menggunakan simpanan dan berhutang bagi menghadapi kesukaran yang dihadapi," kata Pengurus Besar Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Bank Malaysia Bhd, Lim Eng Seong.

Beliau berkata demikian pada taklimat media membentang kaji selidik HSBC Bank bertajuk Masa Depan: Tindakan Yang Seimbang di sini hari ini.

Eng Seong berkata, sungguhpun terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi global mula meningkat sejak pertengahan tahun lalu, 32 peratus daripada rakyat negara ini berasa kemelesetan dan kelembapan ekonomi akan terus melemahkan keupayaan menabung untuk hari tua.

Senario kewangan jangka panjang yang suram turut dirasai di seluruh dunia, dengan hampir satu perempat (23 peratus) responden menjangka standard kehidupan ketika persaraan nanti akan lebih buruk daripada hari ini.

Di Malaysia, golongan pekerja wanita percaya simpanan persaraan dan pelaburan akan dapat bertahan untuk tempoh 11 tahun, tetapi dengan tempoh purata persaraan 21 tahun, menjadikan kemampuan bertahan cuma untuk tempoh 10 tahun.

Golongan pekerja lelaki pula berkata simpanan persaraan mereka hanya cukup untuk tempoh 12 tahun, tetapi dengan tempoh purata persaraan 17 tahun, menjadikan kemampuan bertahan hanya untuk tempoh tujuh tahun.

Antara lain, kaji selidik itu mendapati 21 peratus pesara di Malaysia berkata untuk mengekalkan standard kehidupan ketika bersara nanti, mereka perlu mula merancang persaraan pada umur sekurang-kurang 30 tahun atau lebih awal lagi.

Lebih dua perlima (45 peratus) daripada mereka berkata mereka sepatutnya membuat penabungan yang lebih besar lagi sebelum ini.

Kaji selidik HSBC Bank itu diperoleh daripada maklum balas 16,000 individu bekerja berumur 25 tahun ke atas di 15 negara. Saiz sampel kaji selidik di Malaysia ialah 1,000 individu.

Berikutan kaji selidik itu dibuat dalam tempoh antara Ogos hingga September 2014, ia tidak mengambil kira kejatuhan ketara harga minyak mentah sejak tempoh itu yang mana ia kini diniagakan di bawah AS$50 satu tong berbanding sekitar AS$100 sebelumnya, selain faktor kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS yang menjadikan kuasa membeli rakyat negara ini bertambah lemah.

"Anda perlu menjangka sesuatu yang tidak dijangkakan," nasihat Eng Seong supaya orang ramai membuat persiapan lebih awal dalam menghadapi persaraan.

Berita Harian X