Selasa, 27 Januari 2015 | 8:50pm

Tiga lelaki ditahan kerana menyamar polis dan samun

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan menyamun seorang wanita warga Indonesia di Bangsar, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, mereka ditahan sepasukan polis peronda dari Balai Polis Travers ketika cuba memecut kereta yang dipandu bagi mengelak pemeriksaan polis di Lorong Bangsar, kira-kira 1.30 pagi, Ahad lepas.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek berusia antara 20 dan 30 tahun itu dipercayai menyamar sebagai polis dan memeras wang dari wanita berusia 30-an itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan, polis menemui gari, cota, parang serta pisau rambo dalam kereta berkenaan, dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah mereka, katanya. Beliau berkata ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod lampau dan dipercayai terlibat dengan beberapa kes menyamar dan menyamun di sekitar ibu kota.

Menurutnya modus operandi suspek ialah memperdayakan mangsa untuk ke balai polis sebelum dibawa ke lokasi lain untuk menyamun.

Katanya, kes disiasat di bawah Sekysen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan dan Senjata Api Merbahaya serta Seksyen 170 kanun sama. Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihatkan semua pemandu terutamanya yang memandu di lebuh raya ketika lewat malam supaya berhati-hati dengan kaedah jenayah baharu iaitu sengaja melanggar bahagian belakang kenderaan sebelum menyamun mangsa.

"Sebanyak lapan kes dilaporkan pada tahun ini iaitu empat di Brickfields dan empat di Jalan Klang Lama serta lokasi pilihan mereka adalah jalan raya berhampiran lebuh raya kerana ia berhampiran dengan laluan keluar serta mudah untuk melarikan diri," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihat tidak memberhentikan kenderaan jika berhadapan situasi itu dan mencatat nombor plat kenderaan yang melanggar kenderaan mereka sebelum ke kawasan selamat untuk mendapatkan bantuan. - BERNAMA

Berita Harian X