Selasa, 27 Januari 2015 | 9:18pm

Permulaan 'panas' musim baharu golf ADT, esok

KUALA LUMPUR: Pemain golf serantau akan berusaha menempah nama dalam Jelajah Pembangunan Asia (ADT) apabila sirkit pertama 2015 bermula pada Kejohanan PGM Sime Darby Harvard bernilai RM200,000, esok.

Menurut laman web Jelajah ADT, www.asiantour.com, kejohanan pembuka tirai 2015 itu akan berlangsung buat kali ketiga berturut-turut di Kelab Golf & Country Harvard di Sungai Petani, Kedah.

Kejohanan itu akan disertai oleh pemain antarabangsa daripada 18 negara termasuk bekas juara ADT, Brett Munson dari Amerika Syarikat, Grant Jackson (England), Rufino Bayron (Filipina) dan dua pemain Jepun, Mitsuhiko Hashizume dan Masaru Takahashi.

Selain itu, pemain cemerlang daripada sekolah kelayakan, Lindsay Renolds dari Kanada, Ryosuke Konoshita (Jepun) dan pemain Thailand, Nitithorn Thippong, yang berjaya mendapatkan kad penyertaan jelajah musim 2015, turut menyertai kejohanan tersebut.

Sementara itu, bekas juara ranking ADT 2013, Nicholas Fung akan mengetuai cabaran negara bersama-sama dengan Danny Chia dan Mohd Arie Irawan.

"Saya sedang mencuba beberapa batang kayu golf baharu...jadi saya tidak menjangka permainan saya berada di tahap yang tinggi ketika ini namun saya berharap kejohanan ini dapat menjadi sebagai pemanas badan sebelum Kejohanan Maybank Terbuka Malaysia minggu depan," katanya.

Beliau berkata atas pengalaman yang diperoleh daripada sirkit Jelajah ADT, beliau telah mendapat kelebihan tambahan dalam usahanya memburu kejayaan dalam Jelajah Asia di rantau ini.

"Saya agak berpuas hati dengan corak permainan saya dalam siri jelajah Asia musim lalu. Saya berjaya mengekalkan kad penyertaan jelajah. Sasaran saya untuk menamatkan Jelajah Asia musim ini dalam ranking 15 terbaik," katanya.

Pemain Sabah berusia 24 tahun itu berkata beliau akan berusaha untuk menyertai sebanyak mungkin sirkit Jelajah ADT bagi mendapatkan mata ranking dunia untuk layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Juara kejohanan PGM Sime Darby Harvard akan membawa hadiah wang tunai AS$10,650 (RM38,370) serta menerima enam mata dalam kedudukan ranking dunia.

- BERNAMA

Berita Harian X