Sabtu, 31 Januari 2015 | 5:08pm

Pendidikan kesihatan reproduktif untuk remaja lelaki

SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melaksanakan Modul Pendidikan Kesihatan Sosial bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual terutama dalam kalangan golongan remaja lelaki.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata modul yang akan dilaksanakan awal tahun depan itu mensasarkan golongan berkenaan bagi lingkungan umur 16 tahun ke atas.

"Pelaksanaan modul itu kelak dapat membendung gejala sosial daripada terus membelenggu perkembangan sesebuah keluarga," katanya dalam ucapan perasmian Kempen 'Save Your Dara' dan Karnival Karangkraf, di sini, hari ini.

Pendidikan itu juga diharap meningkatkan pengetahuan masyarakat bahawa kaum wanita tidak harus dipersalahkan semata-mata apabila berlaku kehamilan luar nikah.

Teks ucapan menteri itu dibacakan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail.

Dr Siti Norlasiah ketika ditemui, berkata modul bagi remaja lelaki dan awal dewasa itu diwujudkan kerana golongan ini dilihat lebih berisiko tinggi dan kurang daya kawalan tingkah laku seksual.

Jelasnya, walaupun KPWKM telah melaksanakan pelbagai modul berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual remaja, namun golongan itu sebenarnya memerlukan perhatian lebih mendalam berhubung isu berkenaan.

"Kehamilan luar nikah tidak berlaku dengan satu pihak saja. 'It takes two persons' (Ia melibatkan dua orang)," katanya.

Dr Siti Norlasiah berkata, Kajian Faktor Risiko dan Pelindung Terhadap Kesihatan Reproduktif dan Seksual Remaja di Semenanjung Malaysia pada 2011 mengenalpasti enam faktor utama dalam membendung risiko keruntuhan akhlak.

Enam faktor itu ialah pengetahuan tentang kesihatan reproduktif dan sosial; komunikasi dan perapatan keluarga; pengurusan keluarga yang baik; penglibatan keluarga; persekitaran kejiranan yang positif; serta penglibatan media cetak.

- BERNAMA

160 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »