Jumaat, 29 Ogos 2014 | 5:24pm

Dua murid perempuan Tahun 3 dakwa diculik

GEORGETOWN: Dua murid perempuan Tahun Tiga mendakwa diculik di hadapan sekolah mereka di Batu Lanchang di sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, murid berkenaan mendakwa mulut mereka ditekup dengan kain oleh dua lelaki sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah van berwarna putih dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari.

"Bagaimanapun, ketika van itu berhenti di sebuah bank di Jalan Masjid Negeri, mangsa menggigit tangan suspek dan dapat meloloskan diri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika melarikan diri, murid berkenaan terserempak dengan ibu rakan sekolah mereka yang kemudiannya menghantar mereka ke sekolah semula.

Beliau berkata, ibu kepada seorang murid itu yang juga guru di sekolah berkenaan melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Abdul Rahman Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu petang semalam.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati tiada saksi melihat kejadian itu dan kes itu sedang disiasat.

- BERNAMA

Berita Harian X