Isnin, 2 Februari 2015 | 1:04pm

F1: Saya mahukan lebih pencabar - Hamilton

PELUMBA pasukan F1 British, Lewis Hamilton bersama jentera baharu pasukan itu, M06 di Litar Jerez, Sepanyol, semalam. - Foto Reuters

JEREZ (Sepanyol): Juara dunia, Lewis Hamilton mengharapkan lebih ramai pencabar, bukan sekadar rakan sepasukannya dari Mercedes, Nico Rosberg ketika kempen baharu perlumbaan elit Formula Satu (F1) musim ini.

Pertarungan merebut kejuaraan dunia tahun lepas cukup sengit yang membabitkan Hamilton dan Rosberg sehingga ke perlumbaan terakhir di Abu Dhabi.

Begitupun, semua pencabar lain jelas ketinggalan jauh di belakang meninggalkan Mercedes tanpa dicabar, memenangi 16 daripada 19 pusingan perlumbaan dan menamatkan jurang mata cukup besar, lebih 300 mata.

"Saya sentiasa mahu memastikan akan ada persaingan. Pertarungan yang kami lalui tahun lepas amat menyeronokkan. Itulah sebab untuk saya meneruskan hidup," kata Hamilton.

"Lebih ramai pelumba yang dapat saya tentang, lebih meriah. Ayuh berikan cabarannya," kata pelumba kelahiran Britain itu.

Hamilton benar-benar dicabar Rosberg musim lepas dan persaingan dua pelumba berbakat ini sejak zaman kanak-kanak dijangka akan berterusan.

"Saya sudah bersedia. Hanya itu yang saya perlukan," kata Hamilton ketika ditanya bagaimana reaksinya seandainya perseteruannya bersama Rosberg berlaku sekali lagi.

Juara dunia dua kali itu menewaskan Rosberg dengan kelebihan 67 mata musim lepas namun jurangnya tampak besar kerana mata berganda yang ditawarkan pada perlumbaan akhir di Abu Dhabi.

Selain Hamilton, pelumba baharu McLaren, Fernando Alonso turut memiliki dua gelaran dunia selain Sebastian Vettel, juara dunia empat kali yang meninggalkan Red Bull untuk menyertai Ferrari.

Ini adalah tahun terakhir Hamilton bersama Mercedes namun dikhabarkan kontrak baharu sedang disiapkan. - AFP

Berita Harian X