Rabu, 4 Februari 2015 | 3:34pm
PELAKON, Jue Aziz atau nama sebenar, Zuliza Abd Aziz (kanan) ,suaminya Bayu Daniels Putra dan anaknya, Darwish pada majlis persandingan mereka di Dewan Gzam, Gombak. - Foto Aziah Azmee

Belum sempurna lagi perkahwinan ini tanpa zuriat - Jue Aziz

KUALA LUMPUR: Pelakon, Jue Aziz, 32, mengakui kehidupannya kini masih belum sempurna dan lengkap tanpa kehadiran cahaya mata sendiri biarpun sudah bergelar isteri kepada pemuzik dari Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmad Daniel Thandian. 29, pada 9 Mac tahun lalu.

Pasangan ini bernikah di kampung kelahiran lelaki itu di Sulawesi. Mereka berkahwin selepas tiga bulan perkenalan yang berputik di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang hujung November 2013. 2 Februari satu majlis resepsi diadakan meraikan mereka di dewan Gzam di Selayang.

Menurut Jue, satu lagi majlis akan diadakan pada 20 Februari ini di Nilai, Seremban.

"Alhamdulillah kehidupan saya cukup menggembirakan saat ini. Tak sempurna lagi perkahwinan ini kerana belum ada rezeki untuk melahirkan zuriat sendiri. Tapi sekarang, anak angkat kami Darwish Naufal berusia hampir tiga bulan menjadi penyeri.

"Nak bulan madu betul-betul pun belum berkesempatan lagi. Saya dan suami hanya ke Gunung Malino di Indonesia saja. Ikutkan hati nak bulan madu ke New Zealand kerana negara berkenaan antara yang menjadi kegemaran. Saya suka negara yang ala country dan kehijauan," katanya yang dihubungi BH Online sebentar tadi.

Mengimbas kembali detik pertemuan mereka, Jue menjelaskannya semua bermula ketika beliau bercuti ke Pulau Pinang ditemani pembantu peribadinya. Selepas penat bekerja ruang bercuti ini diharap Jue dapat melepaskan tekanan yang ada.

"Cuma dalam hati ketika itu saya juga berharap akan bertemu dengan kawan baru yang tidak mengenali siapa saya. Tak sangka ia seakan dimakbulkan selepas saya berhasrat untuk menikmati makanan di premis Hard Rock Cafe.

"Kali pertama saya ke premis itu di Kuala Lumpur ketika menyaksikan persembahan Faizal Tahir dan di Pulau Pinang itu kira kali kedua saya menjejakkan kaki. Kebetulan pembantu peribadi saya cakap ada persembahan di premis itu dan kami mahu menontonnya.

"Mata saya akhirnya terpandang seorang lelaki yang hebat bermain gitar. Lelaki itu kini sudah jadi suami saya. Dalam hati saya cakap 'gempaq' gila mamat ini main gitar. Saya suka tengok dia 'menggoreng' gitar itu," katanya.

Tambah Jue lagi, Bayu sebenarnya sudah memerhatikan kelibatnya sebelum itu ketika beliau menikmati makan malam di restoran berasingan.

"Tanpa diduga dia (suami) pun berharap akan bertemu dengan kawan baru. Impian kami bagai ada tarikan yang sama. Daripada situ kami jadi akrab termasuk dengan teman band serta pengurus premis berkenaan.

"Saya suka bersama mereka dan terasa seperti berada di dunia lain apatah lagi mereka tidak tahu saya seorang pelakon. Sekembalinya ke ibu kota, saya dan dia masih berhubungan. Hari lahir saya pun diraikan mereka ketika saya berkunjung ke premis berkenaan lagi.

"Pengurus premis itu siap bawakan kek sebagai kejutan untuk hari lahir saya. Ketika itu saya juga mengenali ibu mentua saya kini menerusi telefon. Saya ke kampungnya di Indonesia dan kebetulan saya sendiri tiada kampung. Segala-galanya dipermudahkan hingga kami bernikah," katanya.

Berita Harian X