Khamis, 5 Februari 2015 | 9:06am

Madrid kukuhkan cengkaman kuasai takhta La Liga

PEMAIN Real Madrid, Jese Rodriguez meraikan jaringan golnya ketika menentang Sevilla untuk gol pertama pasukannya dalam aksi La Liga, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

MADRID: Real Madrid mengukuhkan cengkaman di takhta La Liga dengan kelebihan empat mata selepas mencatat kemenangan ke atas Sevilla 2-1 hasil jaringan James Rodriguez dan Jese pada saingan awal pagi tadi.

Bagaimanapun, juara Eropah itu akan beraksi tanpa kelibat Sergio Ramos dan Rodriguez pada perlawanan penting di tempat lawan menentang juara La Liga, Atletico apabila kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan pada babak separuh masa pertama.

Marcelo pula sudah pasti tidak beraksi di Vicente Calderon selepas dilayangkan kad kuning kelima musim ini pada separuh masa kedua.

Pemain gantian Sevilla, Iago Aspas menjaringkan gol tunggal buat pelawat pada minit ke-80 tetapi kekalahan itu menambah derita apabila menyebabkan kelebihan mereka ke atas Valencia di tangga keempat dibezakan dengan cuma satu mata.

"Sergio mengalami kecederaan hamstring, kami perlukan beberapa hari untuk menilainya. James pula hadapi masalah kaki kanan, saya tidak pasti kecederaan sebenar tapi pastinya mereka tidak dapat diturunkan," kata Pengurus Real, Carlo Ancelotti.

"Saya tetap yakin terhadap pemain lain. Nacho dan (Raphael) Varane bermain dengan baik, saya menaruh keyakinan tinggi terhadap mereka.

"Kami akan merayu berkenaan kad kuning Marcelo kerana bagi saya ia bukan satu kesalahan," katanya.

Madrid masih belum dapat menurunkan Cristiano Ronaldo yang menjalani penggantungan dua perlawanan dan Sevilla pula gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan pada separuh masa pertama.

"Memang sukar, kami bermain dengan baik dan dapat peluang tapi amat sukar di sini apabila bertemu Real Madrid," kata Pengurus Sevilla, Unai Emery. - AFP

Berita Harian X