Khamis, 5 Februari 2015 | 2:46pm

KeTTHA kaji kos keseluruhan sektor jana kuasa

POKOK SENA: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengesahkan pihaknya sedang mengkaji kos keseluruhan dalam sektor jana kuasa negara, terutama dari segi penjimatan kos terkini dalam industri berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sebagai mengulas desakan pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya tarif elektrik diturunkan berikutan kejatuhan harga minyak global.

Mengulas lanjut, beliau berkata melalui kajian itu pihak Suruhanjaya Tenaga dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membentangkan jumlah sebenar penjimatan kos terkini untuk dianalisis pihak kementerian.

"KeTTHA akan menganalisis lebih lanjut jumlah sebenar penjimatan kos terkini yang dibentangkan itu untuk mengenal pasti kos yang boleh dilepaskan dalam masa terdekat kepada pengguna elektrik TNB sama ada domestik atau industri.

"Berdasarkan penelitian dan analisis itu, KeTTHA akan membentangkan cadangan mengenai kos yang boleh dilepaskan itu kepada kerajaan dalam tempoh terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ditanya mengenai desakan supaya menurunkan tarif elektrik, Mahdzir berkata, penurunan harga minyak dunia tidak memberi implikasi secara langsung kepada tarif elektrik semasa.

Berita Harian X