Jumaat, 6 Februari 2015 | 10:21am

Ronaldo kembali kuatkan Real temu Atletico

BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo (tengah) meljalani latihan bersama rakan sepasukannya di Valdebebas, Madrid. Ronaldo kembali beraksi bersama Real ketika bertemu Atletico Madrid, esok. - Foto EPA
BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo (tengah) meljalani latihan bersama rakan sepasukannya di Valdebebas, Madrid. Ronaldo kembali beraksi bersama Real ketika bertemu Atletico Madrid, esok. - Foto EPA

MADRID: Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo kembali menguatkan Real Madrid yang ketika ini tempang akibat kecederaan dan penggantungan ketika bertemu kelab tetangga, Atletico Madrid, esok.

Pertembungan La Liga itu adalah yang pertama buat kedua-dua seteru tetangga itu sepanjang enam perlawanan dijadualkan musim ini dengan Ronaldo kembali selepas menjalani penggantungan dua perlawanan.

Ronaldo digantung selepas didapati bersalah menyepak pemain Cordona, Edimar namun ketiadaan bekas pemain Manchester United itu tidak menghalang Real mengukuhkan kelebihan empat mata di depan Barcelona dengan kemenangan ke atas Sevilla, kelmarin.

Begitupun, kemenangan ke atas Sevilla terpaksa dibayar harga mahal apabila bintang Piala Dunia, James Rodriguez patah kaki kanan manakala pertahanan tengah, Sergio Ramos juga berdepan masalah hamstring.

Pertahanan kanan, Marcelo juga terlepas aksi di Calderon selepas rayuannya terhadap lima kad kuning yang diperolehnya dalam kempen La Liga ditolak namun bagi bos Real, Carlo Ancelotti, ketiadaan beberapa pemain utamanya tidak meresahkan.

"Apa yang kami hilang ialah pengalaman, namun kadang kala semangat adalah sesuatu yang baik," kata Ancelotti yang turut kehilangan pertahanan berpengalaman, Pepe dan dijangka akan menggandingkan Raphael Varane dan Nacho mengemudi pertahanan tengah.

"Dua daripada mereka (Varane dan Nacho) memberikan saya banyak keyakinan. Ramos dan Pepe adalah antara pertahanan terbaik di dunia, namun saya tidak bimbang," katanya.

Kali terakhir kedua-dua kelab berjiran ini bertemu adalah pada final Liga Juara-Juara Eropah, musim lepas yang memihak Real namun juara Sepanyol, Atletico ketika ini ketinggalan 10 mata di belakang Real.

Begitupun, bagi Ancelotti, ia tidak menggambarkan kekuatan sebenar Atletico yang mampu bangkit terutama ketika berdepan perlawanan besar.

Berbeza dengan Real, Diego Simeone tidak berdepan sebarang masalah kecederaan mahupun penggantungan dan boleh menurunkan kesebelasan terbaiknya pada perlawanan itu.

"Kami mahu menang, kami sentiasa mahu menang dan keinginan itu lebih ketika menentang Real Madrid," kata kapten Atletico, Diego Godin.

"Ia perlawanan yang berbeza dan hanya kerana kami menang pertembungan sebelum ini, ia tidak bermakna kami akan menang perlawanan ini. Kami perlu bersedia dengan baik, teruskan dengan apa yang dibuat baik membantu kami mendapat keputusan yang kami mahukan," katanya. - AFP

Jadual perlawanan La Liga

Hari ini

- Deportivo la Coruna mln Eibar, 7.45mlm

Esok

- Atletico Madrid mln Real Madrid, 11.00 mlm

Ahad

- Villarreal mln Granada, 1.00 pg

- Levante mln Malaga, 3.00 pg

- Real Sociedad mln Celta Vigo, 5.00 pg

- Cordoba mln Almeria, 7.00 mlm

- Getafe mln Sevilla, 12.00 tgh mlm

Isnin

- Espanyol mln Valencia, 2.00 pg

- Athletic Bilbao mln Barcelona, 4.00 pg

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X