Jumaat, 6 Februari 2015 | 10:32am

Saham KL dibuka tinggi didorong sentimen luaran

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi didorong sentimen luaran selepas untung semalaman di Wall Street.

Hingga jam 9.27 pagi, FBM KLCI pada 1,810.57 naik 7.36 mata selepas dibuka 3.1 mata lebih tinggi pada 1,806.39.

Seorang peniaga berkata, saham mewah bagaimanapun tidak mendapat sokongan pelabur menjelang hujung minggu dan ditokok pula kebimbangan hasil daripada rundingan antara Greece dan Bank Pusat Eropah (ECB) dan ketidaktentuan mengenai harga minyak.

"Paras rintangan utama kekal pada paras tertinggi semalam 1,831 hampir pada paras purata 200 hari iaitu 1,833 dengan halangan seterusnya dijangka pada 1,840.

"Sokongan semerta kekal pada 1,778 dan sokongan kukuh pada 1,730 dan 1,716," katanya.

Indeks FBM Emas naik 44.11 mata kepada 12,439.98 mata, FBMT100 naik 45.07 mata kepada 12,145.4 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 37.41 mata kepada 12,974.82. FBM 70 naik 33.14 mata kepada 13,441.93 dan FBM ACE naik 41.2 mata kepada 6,555.8 mata.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 236 berbanding 112, manakala 180 kaunter tidak berubah, 1,201 tidak diniagakan dan 22 digantung. Jumlah dagangan sebanyak 235.5 juta saham bernilai RM141.52 juta.

Antara kaunter aktif, JAG, Takaso Resources dan Kronologi Asia masing-masing naik setengah sen kepada 19 sen, 52 sen dan 24 sen, manakala KNM naik 1.5 sen kepada 65.5 sen. Nexgram tidak berubah pada lapan sen.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Axiata masing-masing naik dua sen RM8.94 dan RM7.19, TNB naik 24 sen kepada RM14.78, Public Bank naik 28 sen kepada RM18.72 dan Sime Darby naik tiga sen kepada RM9.57. - BERNAMA

Berita Harian X