Jumaat, 6 Februari 2015 | 9:41pm

Aquino tuntut pejuang Moro serah Abdul Basit


Presiden Filipina, Benigno Aquino. - Foto EPA

MANILA: Presiden Filipina, Benigno Aquino, menuntut pejuang Islam Moro menyerahkan suspek pengganas utama yang berjaya meloloskan diri daripada serbuan polis atau berhadapan pemburuan pihak kerajaan.

Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen, Aquino cuba mententeramkan kemarahan orang ramai susulan kematian 44 komando polis dalam serbuan yang menyasarkan Zulkifli Hir atau Marwan yang dipercayai terbunuh dan Abdul Basit Usman.

"Jika Abdul Basit berada dalam wilayah kami, saya mahu anda menyerahkannya kepada pihak berkuasa atau membantu menangkapnya atau jangan ganggu pemburuan kami," katanya merujuk kepada MILF.

"Kepada mereka yang menyimpang, saya memberi amaran bahawa anda sedang menentang negara. Kami akan melanggar anda," katanya.

MILF memeterai perjanjian damai dengan Manila tahun lalu bagi menamatkan penentangan selama sedekad yang sudah meragut 120,000 nyawa.

Aquino dikritik berikutan serbuan di Mindanao pada 25 Januari lalu yang menjadi kelam kabut apabila pasukan polis diserang hendap pejuang Moro termasuk anggota MILF.

Abdul Basit yang didakwa di mahkamah Filipina berhubung pengeboman sejak 2003, dipercayai mempunyai hubungan dengan Jemaah Islamiyah (JI) dan Abu Sayyaf.

Kerajaan Amerika Syarikat menawarkan ganjaran AS$1 juta bagi penangkapannya.

Analisis DNA FBI menunjukkan Zulkifli yang juga pembuat bom dan militan utama JI serta suspek utama pengeboman di Bali pada 2002, terbunuh dalam serbuan itu.

AS menawarkan ganjaran AS$5 juta bagi penangkapan warga Malaysia itu. - AFP

Berita Harian X