Ahad, 8 Februari 2015 | 8:45am

Spekulasi GST beri kesan terhadap harga rumah

[email protected]

Meneliti iklan di dada akhbar tempatan dan nasional, pemaju perumahan bagai terus optimis bahawa permintaan terhadap rumah kediaman tidak akan reda selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Mereka merebut peluang daripada keghairahan pembeli untuk terus membeli rumah.

Sejak tiga empat tahun ini, harga rumah sudah menggila, di luar daripada imaginasi dan jangkaan banyak pihak, sebahagiannya kerana spekulasi dan strategi pemaju menetapkan harga minimum sesama sendiri bagi meraih keuntungan tinggi.

Di sebalik kontroversi harga makanan dan barangan keperluan harian tidak turun meskipun harga minyak sudah menjunam, kini pembeli dan pelabur dalam sektor hartanah berteka-teki, adakah harga rumah akan naik selepas pelaksanaan GST?

Kenyataan mengelirukan

Bakal pembeli, khususnya golongan muda keliru dengan pelbagai kenyataan pihak terbabit. Ada kementerian menjangkakan bahawa harga rumah akan naik sekitar tiga atau empat peratus, tetapi dinafikan kementerian lain, yang mendakwa hanya naik dua peratus. Kenyataan sedemikian tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Spekulasi bahawa harga rumah akan naik mendadak, menyebabkan ada pemaju menasihati pembeli supaya membeli sekarang sebelum pelaksanaan GST pada 1 April depan ketika membuat promosi dan pemasaran. Pembeli yang tidak waspada, terperangkap dengan helah demikian.

Sesetengah pemaju perumahan cuba menangguk di air keruh, dengan menyebarkan berita yang tidak sahih sehingga mengelirukan dan memperdayakan bakal pembeli. Bakal pembeli perlu berhati-hati membuat keputusan dan tidak mudah terpedaya dengan strategi sesetengah pemaju yang ingin melariskan jualan unit rumah yang dibina.

Sebab peningkatan permintaan yang mendadak bagi rumah sebelum pelaksanaan GST, berpotensi menyebabkan harga rumah terus naik, sedangkan impak GST ke atas harga rumah tidaklah berlaku mendadak seperti yang diwar-warkan sesetengah pihak.

Untuk itu, penting bagi pembeli dan orang ramai mengetahui bagaimana GST berfungsi dan kesannya terhadap harga rumah. Hakikatnya, rumah dikecualikan daripada GST, namun input bahan dan perkhidmatan untuk pembinaan tertakluk kepada GST sebanyak enam peratus, manakala tanah untuk perumahan dan kos pembiayaan dikecualikan daripada cukai. Malah, sesetengah bahan seperti perkakasan sanitari dan jubin yang kini dikenakan cukai jualan 10 peratus, akan dikenakan cukai 6 peratus selepas GST.

Kita perlu belajar daripada fenomena yang berlaku di Australia pada tahun 2000 ketika GST diperkenalkan apabila pembeli dan pemaju bergegas membeli dan menyiapkan projek mereka kerana bimbang kos akan naik selepas pelaksanaan GST.

Namun, disebabkan peningkatan permintaan yang mendadak itu, pemaju akhirnya membayar harga lebih tinggi untuk bahan dan perkhidmatan. Seterusnya, kos berkenaan disalurkan kepada pembeli. Sekitar setengah tahun selepas GST dilaksanakan, harga hartanah turun.

Meskipun pemaju tidak boleh mengenakan GST kepada pembeli rumah kediaman, mereka boleh memindahkan kos cukai tersebut ke dalam harga jualannya secara tersirat. Dijangkakan kenaikan harga untuk hartanah kediaman baharu akan lebih rendah berbanding hartanah komersial baharu.

Hakikatnya, kerajaan menjangkakan harga rumah bakal meningkat tiga peratus selepas pelaksanaan GST, bukan naik mendadak seperti yang dikatakan.

Tindakan tegas lindungi pembeli

Kajian Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menunjukkan impak kenaikan sebanyak tiga peratus berasaskan perincian bahan binaan dan sebagainya. Pemaju perumahan tidak boleh mengambil kesempatan dengan menaikkan harga rumah sesuka hati, melebihi peratusan yang ditetapkan.

Jika perkara ini berlaku, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas bagi melindungi pembeli. Seperti dalam kes harga makanan dan barangan keperluan harian sekarang, kita bimbang sesetengah pemaju menaikkan harga rumah sesuka hati di tengah-tengah keghairahan pembeli.

Bagi rakyat, mereka tidak boleh menunggu kerana berdasarkan rekod, harga rumah tidak akan turun malah sentiasa meningkat. Sementelah, apabila pemaju bersekongkol sesama mereka dengan menetapkan harga rumah minimum bagi memastikan harga rumah terus tinggi.

Kerajaan perlu terus berusaha untuk memastikan segala projek perumahan yang dirancang di bawah pelbagai skim dapat dilaksanakan dan seterusnya memastikan bahawa pemaju dikenakan tindakan yang sesuai, jika mereka mengaut keuntungan yang keterlaluan.

Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Berita Harian X