Selasa, 10 Februari 2015 | 4:18pm

Konsert Jamal Abdillah di Dewan Filharmonik PETRONAS

Datuk Jamal Abdillah
Datuk Jamal Abdillah

KUALA LUMPUR: Satu sejarah baru bakal tercipta dalam industri seni tanah air apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO) bakal berkolaborasi dengan penyanyi tersohor, Datuk Jamal Abdillah dalam sebuah konsert ekstravaganza.

Konsert istimewa ini dijadualkan selama dua hari. Pertamanya pada Sabtu, 28 Mac 2015 jam 8.30 malam dan Ahad, 29 Mac 2015 jam 3 petang di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.

Konsert ini akan terus menyaksikan keunggulan MPO yang melangkau pelbagai genre muzik, dari muzik klasikal barat ke runut bunyi filem, irama tradisional, pop, jazz dan kontemporari.

Ditubuhkan pada tahun 1998, MPO terus menyajikan persembahan bertaraf antarabangsa.

Bukan saja bergema di Malaysia, MPO juga melebarkan sayapnya ke negara luar seperti Singapura, Taiwan, Korea, China, Jepun dan Australia. Bakal meraikan ulang tahun yang ke-17, kolaborasi terbaru MPO ini bakal melakar sejarah tersendiri.

Apatah lagi, ia bakal menyaksikan jalinan kerjasama antara Jamal sendiri yang terkenal di liganya tersendiri sebagai sebuah nama besar dalam industri seni suara tanah air. Konsert ini bakal menjadi antara yang terpenting dalam lipatan karier seni beliau.

Beliau bakal mengikut jejak deretan artis tempatan yang pernah berkolaborasi dengan MPO seperti Datuk Siti Nurhaliza, Tan Sri SM Salim, Datuk Sheila Majid dan Datuk M Nasir. Ia sekali gus memantapkan lagi profil seninya.

Orkestra Filharmonik Malaysia
Orkestra Filharmonik Malaysia

Digelar 'Raja Pop Melayu', bakat Jamal memikat khalayak selepas memenangi Bintang RTM pada tahun 1979. Antara album beliau yang penting, Mati Hidup Semula yang diterbitkan pada tahun 1986, telah menyaksikan beliau menulis sebuah lagu buat pertama kalinya.

Album beliau yang popular ialah Hatiku Luka Kembali, Sendiri, Sepi Seorang Perindu, Seniman Menangis, Jamal, Aku Penghibur, Samrah dan Tak Hilang Cinta yang mengandungi banyak lagu yang meledak di pasaran.

Kerjasama dengan karyawan hebat seperti Datuk Ahmad Nawab, Manan Ngah, Fauzi Marzuki, S Atan dan Adnan Abu Hassan melakar magis tersendiri buat perjalanan seni artis yang pernah dianugerahkan Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 2008 ini.

Beliau telah membuat konsert di Istana Budaya pada tahun 2010 dan 2011 dan adalah artis Melayu pertama yang diberi peluang mengadakan konsert di Stadium Tertutup Singapura di hadapan 3,500 penonton pada tahun 2011.

Seorang pelakon yang prolifik, Jamal muncul buat pertama kalinya dalam filem Azura pada tahun 1984 berpasangan dengan Fauziah Ahmad Daud. Filem itu mencapai kejayaan 'box-office' dan Jamal telah mendapat maklum balas yang baik dari penonton dan pengkritik filem.

Untuk konsert beliau bersama MPO, penonton bakal dibawa menyusuri perjalanan seni beliau dari zaman remaja di Teluk Intan, Perak, hingga ke tahap hari ini di mana beliau teguh berdiri sebagai salah seorang penyanyi yang tersohor di rantau ini.

Dengarkan interpretasi simfoni MPO untuk lagu seperti Kekasih Awal Dan Akhir, Penghujung Rindu, Derita Cinta, Samrah Mentari, Keluhan Perantau, Azura dan medley lagu P Ramlee seperti Putus Sudah Kasih Sayang, Hujan Di Tengahari dan Tunggu Sekejap.

MPO bakal dipimpin oleh Konduktor Residen Ciaran McAuley. Persembahan ini adalah di bawah siri 'DFP Presents'. DFP boleh memuatkan seramai 920 penonton dalam satu masa, dan mempunyai reka bentuk dan akustik yang mengagumkan.

Saksikan kolaborasi dinamik MPO bersama penyanyi legenda ini, hanya di DFP! Harga Tiket dijual dari harga RM180, RM280, RM380 dan RM400. Tempahan dan pembelian tiket boleh dilakukan dengan menelefon 03-20517007 atau faks ke 03-20517077.

Tempahan Email boleh dihantar ke [email protected] atau layari laman sesawang MPO, www.mpo.com.my atau Facebook: fb.mpo.com.my

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X