Selasa, 10 Februari 2015 | 4:24pm
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun ketika melawat kanak-kanak yang menjadi mangsa dera di Hospital Tuanku Ja'afar, minggu lalu. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Kanak-kanak mangsa dera dibenar keluar hospital

SEREMBAN: Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang didera seorang lelaki di Taman Jujur, Sikamat di sini Rabu lepas, dibenar keluar dari Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Abdullah Hanapi, berkata kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital berkenaan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut ekoran beberapa kesan luka dan lebam dikesan di bahagian badan dan mukanya.

Katanya, kanak-kanak itu juga akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi membolehkan JKM mendapatkan hak penjagaan sementara.

"Hak penjagaan sementara itu dibuat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001. Buat sementara waktu ini, kanak-kanak itu serta abang dan adiknya ditempatkan di sebuah institusi perlindungan sama di bawah pengelolaan JKM. Mereka akan ditempatkan di situ selama 30 hari," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Menurutnya, pegawai JKM akan membuat laporan sama ada kanak-kanak itu akan ditempatkan secara kekal atau tidak di institusi perlindungan itu, selain menunggu keputusan mahkamah.

"Bagaimanapun, pihak kami berusaha mencari dan mengesyorkan orang yang paling layak untuk menjaga ketiga-tiga beradik ini supaya kejadian tidak diingini berlaku lagi," katanya.

Abdullah berkata, kanak-kanak itu kini stabil selepas menerima rawatan di wad kanak-kanak HTJ. Abang dan adiknya turut membuat pemeriksaan kesihatan di HTJ sebelum mereka dihantar ke institusi perlindungan itu, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun, berkata suspek yang mendera mangsa direman seminggu sejak Khamis lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Rabu lepas, kanak-kanak itu pergi ke rumah jirannya pada 10.50 malam dalam keadaan menangis sebelum memberitahu dipukul menggunakan tali pinggang.

Jiran mangsa berusia 52 tahun memeriksa badan kanak-kanak lelaki itu dan menemui beberapa kesan luka dan lebam di bahagian badan serta muka.

Jiran itu menghubungi polis dan polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 37 tahun untuk membantu siasatan kes itu.

- BERNAMA

Berita Harian X