Selasa, 10 Februari 2015 | 8:02pm

Ekonomi Malaysia boleh bertahan kelemahan sektor tenaga - S&P

SINGAPURA: Standard & Poor's Ratings Services mengesahkan penarafan kredit negara mata wang asing jangka panjang 'A-' dan jangka pendek 'A-2' ke atas Malaysia.

Pada masa sama, agensi penarafan itu mengesahkan penarafan mata wang tempatan jangka panjang 'A' dan 'A-1' jangka pendek bagi Malaysia dengan tinjauan stabil bagi penarafan jangka panjang.

S&P berkata ia juga mengesah penarafan 'axAAA/axA-1+' skala rantau ASEAN ke atas Malaysia kerana kejatuhan harga minyak yang ia jangka tidak akan mengganggu pengukuhan fiskal jangka panjang Malaysia.

"Kami percaya ekonomi boleh bertahan beberapa kelemahan dalam sektor tenaga kerana pertumbuhan yang agak pelbagai dan meluas," kata agensi itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ia telah menurunkan andaian harga minyak dengan ketara bagi 2015-2018 selepas harga minyak mentah di pasaran semerta dan niaga hadapan jatuh lebih 50 peratus sejak Jun 2014.

"Pada Ogos 2014, ketika kali terakhir mengkaji Malaysia, kami menjangka harga minyak Brent kepada purata AS$105 setong pada 2015 dan AS$100 setong pada 2015-2018.

"Kami kini menganggarkan harga minyak Brent pada purata AS$55 setong pada 2015 dan AS$70 setong pada 2015-2018. Oleh itu, kami menyemak semula unjuran makroekonomi bagi Malaysia," katanya.

Malaysia memperoleh kira-kira 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 30 peratus daripada pendapatan kerajaan (royalti serta cukai minyak dan gas, ditambah dividen daripada PETRONAS dan 14 peratus daripada eksport sektor hidrokarbon).

Agensi penarafan itu berkata Malaysia sudah menjadi proaktif dalam menangani kejatuhan harga minyak.

Dalam Bajet 2015 disemak semula, yang diumumkan pada 20 Januari, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan usaha penyatuan fiskal kekal di landasan yang betul.

Bajet 2015 yang disemak semula itu menganggarkan defisit fiskal akan meningkat kepada 3.2 peratus daripada KDNK berbanding unjuran asal sebanyak 3 peratus.

"Kami menjangka kerajaan akan mengekalkan sasaran jangka panjang untuk mengimbangi Belanjawan menjelang 2020. Kami percaya kedudukan luaran Malaysia cukup kukuh untuk menahan kelembapan dalam sektor minyak dan gas dalam dua tahun akan datang," katanya.

Agensi penarafan itu berpendapat, langkah-langkah kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi minyak dan memperkenalkan GST (pada 6 peratus) pada 2015 akan mempercepatkan pengukuhan fiskal dan membolehkan pengurangan hutang kerajaan.

Ia menjangka hutang bersih kerajaan naik kepada kira-kira 49 peratus daripada KDNK pada 2013, dan ia diunjur susut secara beransur-ansur setelah penyatuan fiskal berhasil. - BERNAMA

Berita Harian X