Khamis, 12 Februari 2015 | 12:05am

Baik pulih Taman Bukit Setiawangsa, pembinaan menara tinjau bernilai RM26.2 juta


Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib (dua dari kiri) meneliti pelan pembinaan semula Cerun A dan kerja-kerja penyelengaraan di Cerun B dan Cerun C, semasa membuat tinjauan di Taman Bukit Setiawangsa, di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari (kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pembinaan menara tinjau dengan kos kira-kira RM3 juta merupakan sebahagian daripada inisiatif pembinaan semula cerun yang runtuh di Taman Bukit Setiwangsa, melibatkan belanja keseluruhan RM26.2 juta.

Kerja pembinaan menara tinjau dan pembinaan semula cerun dengan kos hampir RM23.2 juta melibatkan peruntukan gabungan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), I&P Sdn Bhd dan kerajaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pembinaan menara tinjau itu akan menjadi tarikan baharu kepada penduduk setempat serta pengunjung dari luar dan ia akan dijalankan sekali gus dengan pembaikan semula cerun berkenaan.

"Kerja-kerja pembinaan tembok termasuk penyelenggaraan bermula sejak 28 April tahun lalu dan sehingga 31 Jan lepas, status kemajuan pembinaan telah mencapai 50 peratus. Ia dijangka siap Julai tahun ini dan ketika ini juga mengikut jadual yang ditetapkan.

"Kami akan bekerjasama dengan persatuan penduduk khususnya berkaitan isu keselamatan penduduk setempat susulan pembinaan menara tinjau ini dan kalau boleh kami tidak mahu keselamatan mereka pula terjejas apabila ramai yang datang berkunjung ke sini kelak," katanya kepada pemberita di sini.

Ahmad Phesal berkata, kerja-kerja penyelenggaraan yang telah dijalankan dan akan diteruskan, termasuk pembinaan menara tinjau, dilakukan selepas mendapat saranan serta perakuan daripada Institut Kerja Raya Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Puncak Setiawangsa Fauziah Jamaludin berkata berdasarkan perbincangan dengan penduduk setempat, setakat ini mereka berpuas hati dengan perancangan pembangunan semula itu termasuk cadangan pembinaan menara tinjau.

"Bagaimanapun pembinaannya perlulah tidak menggunakan Jalan Puncak Setiawangsa sebagai laluan utama untuk ke menara tinjau, sebaliknya aksesnya perlulah dari jalan di bahagian bawah kerana kita juga perlu pastikan tahap keselamatan penduduk tetap dijaga," katanya.

Beliau yang menetap di Puncak Setiawangsa selama 16 tahun berharap pembaikpulihan itu adalah jalan penyelesaian yang terbaik dalam memastikan insiden sama tidak berulang.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ima Razak, 56, berkata apa yang diharapkannya adalah untuk memastikan keselamatan penduduk kekal terjamin.

"Keselamatan terjamin bukan sahaja untuk memastikan cerun tidak lagi runtuh tetapi juga dengan pembinaan menara tinjau ini... apabila orang ramai datang kita bimbang juga tahap keselamatan kita," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X