Khamis, 12 Februari 2015 | 9:41pm
MOHAMED Fahmy memegang bendera Mesir selepas perbicaraan semula di mahkamah dekat penjara Tora, Kaherah hari ini. Hakim memerintahkan Fahmy dan seorang lagi wartawan Al-Jazeera, Baher Mohamed dibebaskan dengan ikat jamin. - Foto AP
GAMBAR fail pada 23 Jun 2014 menunjukkan Mohamed Fahmy (kanan) dan Baher Mohamed mendengar keputusan mahkamah dalam kandang defendan di institut polis dekat penjara Tora, Kaherah. - Foto AFP

Mesir bebaskan wartawan Al-Jazeera menjelang perbicaraan semula

KAHERAH: Sebuah mahkamah Mesir hari ini membebaskan dua wartawan Al-Jazeera yang dipenjara sementara menunggu perbicaraan semula selepas kedua-duanya dikurung lebih 400 hari dalam kes yang mencetuskan kemarahan masyarakat dunia.

Mohamed Fahmy, rakyat Kanada dan ahli keluarganya yang berharap beliau dihantar pulang, mesti membayar ikat jamin sebanyak 250,000 pound Mesir (AS$33,000).

Rakannya, Baher Mohamed, rakyat tempatan pula dibebaskan tanpa perlu membayar sebarang ikat jamin.

Bagaimanapun, mereka berdua perlu hadir di mahkamah semula pada 23 Februari ini.

Fahmy dan Mohamed yang hadir berpakaian penjara warna putih selepas rakan mereka warga Australia, Peter Greste dihantar pulang pada awal bulan ini.

Ketiga-tiga mereka didakwa menyokong kumpulan yang diharamkan, Ikhwanul Muslimin dan pada asalnya dipenjara di antara tujuh dan 10 tahun setiap seorang.

Greste mengucapkan tahniah kepada dua rakannya selepas pembebasan mereka diumumkan.

"Ini adalah langkah penting. Tiada masa untuk isytihar perkara ini sudah berakhir tapi sekurang-kurangnya anda boleh pulang," katanya menerusi akaun Twitter.

Sementara itu, entri Mohamed dalam Twitternya pula berbunyi: "SAYA BEBAS". - AFP

Berita Harian X