Khamis, 12 Februari 2015 | 10:38pm
REAKSI Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika dimaklumkan oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berita pemergian Nik Aziz pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 Yayasan Pendidikan Cheras dan Anugerah Guru Bestari 2015 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur malam ini. - Foto Asyraf Hamzah

Najib, Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga Nik Aziz

MURSYIDUL Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, 84, meninggal dunia kira-kira jam 9.40 malam. Bekas Menteri Besar Kelantan menghembuskan nafas terakhir kira-kira satu jam sebaik tiba di rumahnya, selepas keluar daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). - Foto fail NSTP/Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atas pemergian bekas Menteri Besar Kelantan, sebentar tadi.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 Yayasan Pendidikan Cheras selepas dimaklumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau kemudian memimpin bacaan al-Fatihah dan mendoakan roh Allahyarham Nik Abdul Aziz dicucuri rahmat.

Najib kemudian dalam akaun Twitternya, turut melahirkan rasa sedih dengan pemergian ke rahmatullah Nik Abdul Aziz.

"Innalillahiwainnailahirojiun. Saya sedih mendengar Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah pulang ke rahmatullah. Al-Fatihah," kata Najib.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam laman twitternya turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dengan catatan "saya dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Nik Aziz.

"Moga roh beliau ditempatkan bersama-sama hamba2Nya yang soleh," kata Muhyiddin.

Berita Harian X