Jumaat, 13 Februari 2015 | 3:42pm
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan (kiri) meninjau kerja-kerja pembinaan projek MRT semasa melawat stesen MRT Taman Midah di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang 59.5 peratus siap pada Januari

KUALA LUMPUR: Pembinaan laluan Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer mencapai 59.5 peratus kemajuan pada Januari.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, berkata walaupun dengan pelbagai rintangan, kos pembangunan kekal dalam julat bajet kerajaan sebanyak RM22.18 bilion, berikutan kebanyakan bahan dibeli daripada tempatan.

"Kontrak keseluruhan RM21 bilion sudah diserahkan dengan 38 pakej kerja bernilai RM10.6 bilion diberikan kepada kontraktor Bumiputera," katanya selepas melawat tapak pembinaan MRT Taman Midah di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Bahagian bawah tanah laluan MRT Sungai Buloh-Kajang telah disiap 73 peratus pada Disember 2014 manakala bagi bahagian bertingkat pula siap 49.2 peratus.

Sementara itu, Shahril berkata syarikat menetapkan untuk melaksanakan paparan awam bagi laluan kedua MRT menjelang akhir Mei ini walaupun perlu membuat perubahan jajaran laluan berkenaan.

Shahril berkata perubahan kecil dibuat pada laluan kedua itu bertujuan menempatkan terminal laluan kereta api berkelajuan tinggi Malaysia-Singapura di Bandar Malaysia.

"Dengan sedikit perubahan kepada jajaran itu, kita perlu kembali kepada lakaran dan mengemukakan semula penjajaran baharu kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X