Jumaat, 13 Februari 2015 | 7:52pm

Pihak berkuasa agama digesa pantau sambutan Hari Valentine


PRESIDEN Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia, Zamihan Mat Zin Al-Ghari. - Foto Asman Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa agama digesa memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana umat Islam yang turut serta menyambut Hari Valentine, esok.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia, Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, umat Islam juga diseru lebih berwaspada dan tidak menyambut Hari Valentine yang boleh membawa kepada penyelewengan akidah sebagai umat Islam.

"Umat Islam perlu faham bahawa Hari Valentine adalah perayaan penganut agama Kristian dan jika kita turut serta meraikannya bermakna kita mengikut serta ataupun mengiktiraf agama Kristian dan sekaligus boleh tergelincir akidah sebagai umat Islam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zamihan berkata, Hari Valentine adalah perayaan agama Kristian mazhab Roman Katolik bagi memperingati Saint Valentine seorang Uskup (Bishop) dari Rome, Itali.

"Valentine bukan bermaksud "kekasih" kerana ia adalah nama seorang paderi bertaraf Uskup yang ditahbiskan sebagai "wali" oleh Pope Pius XII pada tahun 1955 dan tarikh 14 Februari telah dipilih oleh Gereja Roman Katolik sebagai hari peringatan terhadap beliau," katanya.

Oleh yang sedemikian, beliau menjelaskan bahawa sambutan itu sebenarnya sebuah perayaan agama yang haram disambut umat Islam kerana mampu menggugat akidah.

Tarikh 14 Februari pada asalnya dipilih oleh Pope Gelasius I pada tahun 496 yang mengisytihar Valentine sebagai seorang "keramat" yang mati syahid pada tahun 269 Masihi.

Tarikh ini kemudian dikekalkan oleh Pope Pius XII yang wajib diraikan oleh penganut Kristian.

Berita Harian X