Sabtu, 14 Februari 2015 | 8:22pm
PANGLIMA Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika memeriksa perbarisan sempena Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Pengambilan Lelaki 175/2014 dan Wanita 37/2014 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Penyertaan kaum Cina, India dalam tentera masih kurang

PORT DICKSON: Penyertaan kaum bukan Melayu dalam pasukan Tentera Darat (TD) terutama kaum Cina dan India masih belum menggalakkan dan usaha berterusan dilakukan untuk menarik golongan tersebut, kata Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Katanya, walaupun ada peningkatan dalam keseimbangan komposisi kaum namun pihaknya berhasrat untuk menambah lagi jumlah penyertaan bukan Melayu kerana usaha menjaga keselamatan negara adalah tanggungjawab semua.

"Jadi kita harap lebih ramai penyertaan kaum lain untuk turut bersama dengan TD dan berkhidmat kepada negara," katanya kepada pemberita selepas perbarisan tamat latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 175/2014 dan Wanita siri 37/2014 di Pusat latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Sejumlah 1,500 pelatih termasuk 33 wanita menamatkan latihan kali ini dan daripada jumlah itu, hanya 21 pelatih lelaki adalah daripada kaum India.

Katanya, TD juga akan terus menambah jumlah keanggotaannya dalam mencapai sasaran 4,500 setahun bukan saja untuk mengisi kekosongan yang ada tetapi untuk menggantikan anggota tentera sedia ada.

Raja Mohamed Affandi berkata, melihat kepada situasi terkini sudah ada pertambahan dalam kalangan generasi muda menyertai pasukan keselamatan ini, selain galakan daripada keluarga yang pernah menganggotai TD sebelum ini.

Sementara itu, Perajurit Muda Muhammad Syazani Imran, 18, dari Kluang, Johor diumumkan sebagai pemenang Keseluruhan Terbaik, Perajurit Muda S. Ragunathan, 22, dari Jasin, Melaka (pemenang Jasmani Terbaik), dan Perajurit Muda Nurul Huda Mohd Anuar, 25, dari Marang, Terengganu (pemenang Akademik Terbaik).

-- BERNAMA

Berita Harian X