Ahad, 15 Februari 2015 | 12:26pm
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Hassan Yaacob (kiri) memeriksa lesen seorang penunggang motosikal ketika Operasi Bersepadu JPJ Pulau Pinang sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Jambatan Pulau Pinang, kelmarin. - Foto Zulaikha Zainuzman
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Hassan Yaacob (kiri) memeriksa lesen seorang penunggang motosikal ketika Operasi Bersepadu JPJ Pulau Pinang sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Jambatan Pulau Pinang, kelmarin. - Foto Zulaikha Zainuzman

251 saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu JPJ di Pulau Pinang

BUTTERWORTH: Sejumlah 251 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sempena perayaan Tahun Baharu Cina dalam tempoh tiga hari sejak Khamis lalu.

Pengarah JPJ negeri, Datuk Hassan Yaacob, berkata operasi turut membabitkan Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar itu telah memeriksa 331 kenderaan termasuk 111 bas ekspres.

"Daripada jumlah itu sebanyak 89 kenderaan diambil tindakan termasuk 31 kes membabitkan bas ekspres dalam pemeriksaan di Terminal Bas Sungai Nibong dan Butterworth.

"Antara kesalahan dikesan ialah tiada pemandu kedua, tayar haus, cermin retak dan seorang pemandu di Butterworth dikesan positif dadah jenis syabu," katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini, malam tadi.

Beliau berkata, tiga motosikal turut disita kerana cukai jalan tamat tempoh selain 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20an dan 30an didapati positif dadah dalam operasi setakat jam 12 tengah malam tadi.

Hassan berkata, sebanyak 57 kes turut dikesan menerusi penyamaran oleh anggotanya bagi merakam bukti bergambar pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan operasi itu akan diteruskan di seluruh Pulau Pinang sehingga 27 Februari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan lazim yang dilakukan ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan tidak memakai topi keledar.

Katanya, notis siasatan akan dikeluarkan kepada pemilik berdaftar kenderaan terbabit sebelum saman dikeluarkan dengan kadar maksimum RM300 bagi setiap kesalahan.

Hassan turut mengingatkan pemandu kenderaan berat kategori pertama seperti lori balak dan lori pembawa kenderaan melebihi 5,000 kilogram supaya tidak menggunakan jalan raya pada 17, 18, 21 dan 22 Februari ini atau tindakan penguatkuasaan akan diambil.

Beliau berkata, lori kontena atau kargo yang membawa barang-barang elektronik dan elektrik bagaimanapun dibenar beroperasi daripada jam 6 pagi hingga 12 tengah malam dalam tempoh berkenaan.

- BERNAMA

Berita Harian X