Ahad, 15 Februari 2015 | 6:59pm

Ops Selamat tumpu 33 kawasan hitam di Selangor


PEGAWAI Turus Cawangan Trafik Selangor, DSP Azmi Mansor (kiri) hadir pada Ops Selamat sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2015 di laluan menghala ke Lebuhraya Guthrie hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Sebanyak 33 `kawasan hitam' di Selangor yang berisiko tinggi berlaku kemalangan akan diberi tumpuan dalam Ops Selamat, sempena Tahun Baharu Cina.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Superintendan Azmi Mansor, berkata ia dikategorikan berisiko berdasarkan statistik kadar kemalangan, termasuk kemalangan maut di kawasan itu sepanjang tahun lalu.

"Antara kawasan yang sering berlaku kemalangan ialah di Kilometer (KM) 43 Jalan Teluk Intan- Klang; KM 14, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh; KM 15 dan 40 Jalan Klang-Banting; KM 6 Bukit Beruntung; KM 1.5 Jalan Sepang-Sg Pelek dan KM 446 Lebuh Raya Utara Selatan.

"Laluan lain ialah sepanjang Jalan Kapar dan Lebuh Raya Selat Klang Utara; Jalan Pelabuhan Barat dan Persiaran Raja Muda Musa, Klang Selatan; Jalan Serdang Raya, Serdang dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang," katanya ketika ditemui BH selepas melakukan tinjauan lokasi Ops Selamat, di sini.

Azmi berkata, polis Selangor turut mewujudkan pusat sehenti di sepanjang laluan utama bagi menggalakkan orang ramai berhenti rehat serta pada masa sama mengisi borang balik kampung, untuk diserahkan terus kepada anggota bertugas.

"Borang balik kampung ini penting kerana polis akan tahu rumah mana yang tidak berpenghuni. Maklumat ini kemudiannya akan disalurkan kepada pasukan peronda untuk melakukan pemantauan di sekitar kawasan perumahan," katanya.

Berita Harian X